Tuesday, September 9, 2008

Keluarga Sharlinie sayu berbuka puasa


Oleh IRMAN HASHIM

DUNGUN 3 Sept. - Suasana sayu dan sepi tetap menyelubungi keluarga Mohd. Nashar Mat Hussein yang mula berbuka puasa di kampung mereka di sini, selepas meninggalkan tempat tinggal lama di ibu kota bagi mencari ketenangan sejak kehilangan Sharlinie lapan bulan lalu.

Namun tempat baru nampaknya tetap tidak mampu menghilangkan kerinduan keluarga ini terhadap keletah Sharlinie, 5, bersama dua kakaknya, Nurul Amirah, 11, dan Sharliena, 8, setiap kali waktu berbuka.

Mohd. Nashar, 29, berkata, anak bongsunya itu sering dibawa menemaninya membeli juadah berbuka puasa di pasar Ramadan berdekatan rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.

"Setiap kali, kami pergi membeli juadah berbuka puasa, Sharlinie akan meminta saya membeli otak-otak kegemarannya," katanya ketika ditemui di rumah ayahnya, Mat Hussein Awang Kechik, 60, di Kampung Bentong Padang Pulut di sini semalam.

Sharlinie diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain dengan kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan pada 9 Januari lalu.

Sejak itu, selain polis, pelbagai pihak termasuk media dan orang perseorangan menghulurkan bantuan mencarinya tetapi sehingga kini usaha itu masih gagal membuahkan hasil.

Mohd. Nashar mengambil keputusan untuk berpindah ke Dungun semalam selepas tidak sanggup berada di rumah sewa di Taman Medan ekoran kejadian penculikan itu.

Beliau berkata, Ramadan kali ini hanya disambut secara sederhana dan mereka sekeluarga masih tidak memikirkan persiapan Aidilfitri.

"Masih belum ada berita tentang penemuan Sharlinie sehingga ke hari ini tetapi kami masih bersemangat untuk mencarinya," katanya.

Beliau menaruh harapan dan berdoa agar anak bongsunya itu akan pulang sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi mengembalikan keceriaan mereka sekeluarga.
- Utusan Online

No comments: