Thursday, September 11, 2008

Tinta: Jangan biarkan kes kanak-kanak hilang berulang


Oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bharian.com.my


Assalamualaikum

SALAM Ramadan! Kedatangan bulan mulia ini sememangnya sentiasa dinantikan masyarakat Islam di negara ini. Selain kehadiran pelbagai juadah enak yang boleh didapati di bazar Ramadan, bulan ini juga memberikan ruang untuk kita menambah amal ibadat.

Bagi yang sedang membuat persiapan Aidilfitri ini, pastikan semuanya berjalan lancar. Jangan kerana terlalu sibuk membeli-belah kelengkapan baru seperti baju, perabot ataupun kuih raya, anda lupa untuk menjaga keselamatan anak terutama jika berkunjung ke pusat beli-belah yang pastinya dibanjiri orang ramai yang turut membuat persiapan akhir.

Jadikan iktibar kehilangan kanak-kanak yang banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Jika anda masih ingat kes kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Nazrin Ghazali (kini tujuh tahun) di sebuah gedung beli-belah di ibu negara dua tahun lalu ketika keluarganya sibuk membeli-belah, seharusnya anda akan menjadi lebih berhati-hati.

Walaupun Muhammad Nazrin atau lebih dikenali sebagai Adik Yin, selamat ditemui, tempoh yang dilalui sepanjang beberapa minggu kehilangannya pasti menjadi pengalaman ‘menakutkan’ yang tidak mahu dilalui lagi oleh kedua-dua ibu bapanya.

Orang kata, anak bagaikan nadi kehidupan kita. Kehilangan mereka, tidak kira apa punca sekali pun, boleh menyebabkan seseorang itu berasa sebahagian daripada diri mereka turut mati. Tanyalah kepada ibu bapa yang pernah melalui pengalaman seperti Ghazali.

Saya pernah bertemu Ghazali dan isteri ketika mereka berkunjung ke pejabat Berita Harian sejurus penemuan kanak-kanak itu. Bagi mereka sejak kehilangan Adik Yin, setiap detik dirasakan begitu menyesakkan diri mengenangkan nasib anak yang hilang, entahkan hidup, entahkan mati.

Malah, setiap saat peristiwa itu bermain di fikiran mereka sehingga ada kalanya terdetik di hati, jika tidak datang ke gedung beli-belah itu mahupun Kuala Lumpur (keluarga Ghazali menetap di Perak), tidak mungkin peristiwa itu akan berlaku.

Apapun, bersyukur kerana nasib Adik Yin sudah diketahui. Bagaimana pula dengan adik Sharlinie dan Awi yang sehingga ke hari ini masih tidak ditemui? Jika masih hidup, di mana mereka, siapa yang menjaga? Namun, jika sebaliknya, tunjukkan kubur mereka.

Kehilangan dua kanak-kanak itu adalah antara puluhan atau ratusan kes yang sehingga hari ini masih tidak berjaya diselesaikan. Masih ingat lagi dengan kehilangan kanak-kanak berusia tujuh tahun, Tin Song Sheng yang dikatakan diculik di depan sekolahnya di Klang pada 12 Januari 1996. Kini sudah lebih 12 tahun Shong Sheng hilang, tetapi kehilangannya masih diratapi ibunya dan terus mengharap untuk menemui si kecil biar dalam keadaan apa sekali pun.

Ada pelbagai teori diketengahkan mengenai kehilangan kanak-kanak seperti mereka, antaranya digunakan sindiket untuk bekerja atau dijadikan peminta sedekah di negara asing terutama apabila heboh beberapa tahun lalu mengenai kelibat kanak-kanak itu yang dikatakan dilihat di selatan Thai sedang meminta sedekah. Tidak kira apapun punca kehilangan mereka, kita harap satu hari nanti mereka diketemukan semula dengan keluarga tersayang.

Justeru, pada Ramadan yang mulia ini jadikan kisah mereka sebagai peringatan penting terutama apabila membawa anak ke pusat beli-belah, lebih-lebih lagi menjelang lebaran, kebanyakan pusat beli-belah atau pasar raya penuh dengan orang ramai yang turut mempunyai tujuan sama seperti anda, menyediakan persiapan Aidilfitri.

Tetapi, bak kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Mungkin ada juga yang berniat jahat dan ingin mengambil kesempatan di tengah kesibukan menyediakan persiapan lebaran. Jadi, berhati-hatilah. Jangan biarkan peristiwa yang menghantui keluarga kanak-kanak Ghazali itu turut menghantui anda kelak.

Pada masa sama, marilah kita berdoa semoga Sharlinie dan Awi segera ditemui dan secara peribadi, saya harap kita turut mendoakan supaya pembunuh adik Nurin Jazlin Jazimin ditahan. Al-Fatihah untuk adik Nurin Jazlin!

- Berita Harian

1 comment:

azizuLHakim said...

ni video assgnment kolej saya bertajuk

http://www.youtube.com/watch?v=k8Uqx5fMfEI


"Care Enough?"(PSA)

This public service advertisement is to bring awareness and also to remind viewers especially parents to pay extra attention to their children. Our country have been shocked with news about the kidnapped and murdered young female children for example Nurin Jazlin and the recent lost, Sharlinie who is still being searched until today.