Monday, March 31, 2008

Poster Sharlinie terus diedarkan

KUALA LUMPUR 30 Mac – Keluarga Sharlinie Mohd. Nashar, 5, tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mencari kanak-kanak tersebut dan akan terus mengedar posternya kepada orang ramai.

Bapa kepada kanak-kanak malang itu, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, berharap masyarakat tidak cepat berputus asa dan meminta orang ramai sama-sama membantu dalam misi mencari anak bongsunya itu.

“Buat masa ini, poster Sharlinie sudah habis diedarkan dan saya harap orang ramai tidak akan melupakan anak saya begitu sahaja walaupun tempoh kehilangannya sudah terlalu lama.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa membantu dalam membuat rondaan mencari Sharlinie, mengedar poster dan menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada pagi 9 Januari lalu.

Kehilangan Sharlinie yang kini masuk hari ke-82 terus menjadi misteri kerana tidak ada sebarang petunjuk yang dapat mengesan penculiknya serta lokasi kanak-kanak itu.

Menurut Mohd. Nashar, beliau masih lagi menunggu laporan daripada pihak polis untuk mengetahui sebarang perkembangan tentang kes anaknya itu.

Bagi pihak beliau, katanya, mereka akan terus membuat rondaan di kawasan-kawasan tertentu yang dipercayai dijadikan tempat penyembunyian Sharlinie.

“Kami tetap akan membuat rondaan dan menyerahkan kerja siasatan kepada polis,” katanya.

- Utusan Malaysia

Sunday, March 30, 2008

Asmawi dilihat di Bangsar

Oleh Ifwan Tun Tuah

Polis terima maklumat budak seirasnya merayau di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang hilang sejak 9 Mac lalu, Muhammad Asmawi Jalaludin, 11, dikatakan dilihat berkeliaran di kawasan pusat beli-belah Bangsar Village, Bangsar di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis menerima maklumat orang awam mendakwa ternampak seorang kanak-kanak mirip Muhammad Asmawi di kawasan itu kira-kira jam 4 petang.

"Pemberi maklumat itu mendakwa kanak-kanak itu menyerupai gambaran Muhammad Asmawi yang kita sebarkan sebelum ini.

"Berikutan itu, kita menghantar tiga pasukan polis melakukan pencarian di sekitar kawasan terbabit namun tidak menemuinya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa pasukan dihantar ke kawasan sama kelmarin dan semalam dengan harapan Muhammad Asmawi mungkin berada di tempat itu, yang menjadi tumpuan remaja berkumpul pada malam minggu.

"Usaha kita bagaimanapun tidak berhasil kerana semua orang yang ditemui dan ditunjukkan gambar Muhammad Asmawi berkata tidak pernah melihatnya berada di kawasan berkenaan," katanya.

Wan Abdul Bari bagaimanapun berterima kasih kepada orang awam yang prihatin mengenai kehilangan pelajar tahun lima itu dan menyalurkan maklumat berguna kepada polis.

Muhammad Asmawi dikatakan hilang selepas berpisah dengan rakannya di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya di Pantai Dalam di sini, jam 6.30 petang, 9 Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Bari berkata, polis serta keluarga Muhammad Asmawi tidak lagi menerima maklumat palsu atau berunsur ugutan sejak seorang remaja disyaki menghantar SMS ugutan kepada keluarga itu ditahan di Sabah, Selasa lalu.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kota Kinabalu kerana disyaki menghantar SMS berbunyi 'Asmawi ada di sini. Tapi syarat bagi duit RM5,000' ke telefon bimbit kakak Muhammad Asmawi, Saudah, 30, pada 11 Mac lalu, tiga hari selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Bari berkata, polis akan meneruskan usaha mencari Muhammad Asmawi dan tidak akan berputus asa sehingga kanak-kanak itu ditemui.

- Berita Harian

Friday, March 28, 2008

Police Switch To Nocturnal Operations To Trace Missing Boy

KUALA LUMPUR, March 26 (Bernama) -- Police have switched to nocturnal operations to trace the whereabouts of 11-year-old Muhamad Asmawi Jalaludin who has been reported missing since March 9.

Kuala Lumpur police chief Datuk Muhammad Sabtu Osman said the move to conduct such searches followed intelligence which revealed that Asmawi was known to have spent several nights at the homes of close friends.

"We are focusing on housing estates in Pantai Dalam, Dataran Merdeka, KL Sentral, under bridges, video game centres, mosques and bus stations," he told reporters here today.

He said police classified Asmawi's case as missing from family custody, not abduction.

Asmawi, a primary five student of Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields was reported missing on the way home from a playground near his house in Jalan Permai Tujuh.

-- BERNAMA

Tuesday, March 25, 2008

Keluarga Sharlinie tertekan terima dua SMS ugutan

Oleh ZULKIFLI MANZOR

PETALING JAYA 24 Mac – Bapa Sharlinie, Mohd. Nashar Mat Hussian, 29, mengakui beliau dan keluarganya kini bertambah tertekan serta keliru mengenai nasib sebenar anak perempuannya itu ketika ini.

Mohd. Nashar berkata, keadaannya itu ekoran dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan yang diterimanya daripada seorang individu tidak dikenali baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun polis telah menahan seorang pemuda Pakistan berusia 32 tahun disyaki penghantar SMS tersebut, namun kedudukan sebenar anaknya belum diketahui.

“SMS itu meminta wang RM25,000 daripada saya sekiranya mahu Sharlinie dibebaskan.

“Saya tidak pasti sama ada apa yang ditulis melalui SMS tersebut benar atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang pemuda Pakistan yang mendakwa dirinya peguam, ditahan petang kelmarin kerana disyaki menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan dan meminta wang RM25,000 untuk ‘membebaskan’ Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang kononnya ada dalam jagaannya di Sabah.

Dia yang merupakan orang ketiga ditahan setakat ini kerana menghantar SMS ugutan berhubung kes kehilangan Sharlinie, direman selama empat hari bermula semalam hingga 26 Mac ini.

Lelaki Pakistan itu yang sebenarnya merupakan perunding teknologi maklumat (IT) menghantar SMS dalam bahasa Inggeris yang bermaksud, “Sharlinie dalam jagaan saya, disimpan di rumah Elisiah binti Abat, Kampung Rampai, Peti Surat 139, Kudat, Sabah.Jika anda bawa RM25,000 ke Sabah, dia akan dipulangkan. Jangan lapor kepada polis atau dia (Sharlinie) hilang selama-lamanya. QNB. 013-3653253).”

Mohd. Nashar berkata, beliau pada mulanya tidak percaya pada SMS itu ketika ia dihantar kali pertama, tetapi beliau menjadi takut apabila menerima satu lagi SMS daripada nombor sama.

Jelasnya, SMS pertama diterima pada 21 Mac lalu, kira-kira pukul 3.30 pagi manakala SMS kedua diterima keesokannya pada waktu hampir sama dan beliau kurang memahami maksud SMS tersebut kerana ia dihantar dalam bahasa Inggeris.

SMS kedua itu dalam bahasa Inggeris bermaksud: “Jika tak dapat RM25,000 sebelum Isnin, Sharlinie akan dibunuh dan dibuang ke Laut KK. Kamu diingatkan QNB adalah penasihat undang-undang Alqaiada, perancang pengeboman Lahore dan pembunuhan Benazir.”

Mohd. Nashar berkata, beliau dan isteri dipanggil polis hari ini untuk memberi keterangan dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada polis.

Sementara itu, ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, berkata, beliau tidak pasti sama ada SMS itu palsu atau benar kerana harapannya cuma Sharlinie ditemui secepat mungkin.

Jelasnya, beliau berasa amat sedih kerana masih ada pihak yang tidak faham akan kerisauan mereka dan mempermainkan mereka sekeluarga dengan menghantar SMS ugutan dan palsu.

“Sehingga kini saya yakin yang Sharlinie masih hidup dan selamat,” tegas Suraya.

- Utusan Malaysia

Monday, March 24, 2008

Keluarga semakin bimbang Asmawi hilang 15 hari

KUALA LUMPUR 22 Mac - Keluarga Muhamad Asmawi Jalaludin melahirkan kebimbangan terhadap kehilangan kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang kini masuk hari ke-14.

Ibu kanak-kanak itu, Rozita Abu Hassan, 50, berkata, sudah dua hari dia tidak menjamu makanan kerana tiada selera disebabkan terlalu merindui Muhamad Asmawi.

"Saya sangat risau. Saya selalu duduk diam dan sendirian mengingatkan anak saya, banyak kemungkinan bermain di fikiran saya.

"Adakah dia kini kesejukan? Adakah dia diberi makan? Semakin difikirkan semakin saya takut dengan keselamatannya kerana dia selalu sakit perut," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pantai Dalam di sini hari ini.

Muhamad Asmawi atau Awie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini pada petang 9 Mac lalu.

Menurut Rozita, dia dan suaminya sentiasa membuat rondaan di sekitar kawasan perumahan pada sebelah pagi dan kemudian mencari Muhamad Asmawi pada waktu malam.

Katanya, beberapa hari lalu keluarga Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah datang melawat mereka sekeluarga dan memberi bantuan dari segi kewangan untuk meringankan beban keluarganya.

"Ibu Allahyarham Nurin nasihatkan saya supaya sabar dan tidak rputus asa cari Muhamad Asmawi. Mereka turut sama-sama membantu edar poster kepada orang ramai," katanya.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin hilang selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam tidak jauh dari rumahnya di Wangsa Maju di sini.

Mayatnya kemudian ditemui di dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di hadapan premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September tahun lalu.

Rozita meminta orang ramai berdoa untuk keselamatan Muhamad Asmawi dan membantu dalam mencari kanak-kanak lelaki itu.

- Utusan Malaysia

Sunday, March 23, 2008

Ganjaran RM20,000 rungkai kes Nurin

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong menyatakan kesudiannya untuk membayar wang sagu hati RM20,000 secara tunai kepada sesiapa sahaja termasuk individu misteri yang membawa beg berisi mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, pada 17 September lalu.

Chong yang ditemui semalam berkata, wang ganjaran itu akan dibayar kepada sesiapa sahaja yang mampu menrungkai misteri kehilangan dan pembunuhan Nurin Jazlin walaupun kes terbabit berlalu hampir tujuh bulan lalu.

Menurutnya, dia dan masyarakat masih berharap supaya pembunuh kanak-kanak itu ditemui, namun sehingga kini belum ada petunjuk baru ditemui.

“Oleh itu saya minta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tampil. Malah jika lelaki yang membawa beg berisi mayat Nurin itu sudi membantu siasatan polis...wang itu adalah miliknya serta-merta.

“Kita tidak pasti sama ada lelaki yang membawa beg terbabit adalah penculik atau pembunuh. Mungkin dia diupah atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menyelar kenyataan bapa mangsa, Jazimin Abd Jalil, 33, yang beranggapan polis tidak berminat lagi meneruskan siasatan pembunuhan anaknya kerana dia bukan dari golongan kenamaan atau kerabat istana.

Menurutnya, kenyataan Jazimin melalui sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin itu dianggap menyedihkan kerana polis bersama masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa berusaha memastikan penjenayah bertanggungjawab diberkas.

“Malah pihak MCA beberapa kali pernah bermesyuarat dengan pihak polis Daerah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur bagi mendapatkan butir perkembangan kes itu.

“Walaupun siasatan polis tidak dilaporkan butiran terperinci setiap hari di media namun saya yakin polis tidak pernah menutup kes itu,” katanya.

Menurutnya, bapa mangsa perlu bersabar dan berdoa kerana masih ramai ibu bapa yang kehilangan anak di luar sana turut mengalami penderitaan sama.

“Malah sehingga kini masih ramai yang gagal menemui anak masing-masing, malah tidak tahu apa kesudahannya,” katanya.

Menurutnya, pihak MCA sebelum ini turut membantu operasi menjejak kanak-kanak itu dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

- Harian Metro

Saturday, March 22, 2008

The week that was

Dear Visitors,

Firstly, please kindly accept my apologies for not being able to update this blogsite since 8th March 2008 till today as my access to the internet was limited during the period as I was out of the country not once but twice. If you wish to know my whereabout during the period, please feel free to visit my other blog which is more of a personal journal.

To re-cap the events throughout the period, let's just revisit the week that was as follows :-

8th March 2008
Malaysia's 12th General Elections
For the very first time Malaysians witnessed the most unpredictable election results where the ruling Barisan Nasional Government lost their 2/3 majority in the Lower House. More surprising was the capturing of an additional 4 states namely Kedah, Penang, Perak and Selangor by the opposition alliance other than the existing opposition held state of Kelantan.

There were many casualties in the elections but we, as far as the C4NA community is concerned, mourned the defeat of Datuk Seri Shahrizat to PKR's Nurul Izzah.

Datuk Seri Shahrizat was key to the introduction of Nurin Alert and now with her departure from the legislative body, the C4NA would have to get all over started again.


9th March 2008
C4NA's official website launched.
After several months of under construction, C4NA's official website www.nurinalert.org went live at 0.01 am 9th March 2008. The website's came in being was made possible with the assistance rendered by Sdr. Mohd. Fadli Yusof, a new Committee Member of C4NA.

10th March 2008
Another Child went Missing

While the nation is still shocked with the kidnapping of murdered child Nurin Jazlin and the still unresolved kidnapping of Sharlinie, another child went missing today while playing in front of his house at Pantai Dalam. The child, Asmawi is still missing until today.

12th March 2008
News of Missing Asmawi First Reported

After three days since he went missing, news of his dissapearance was reported in over Buletin Utama TV3, a delay that was probably due to the late reporting of the incident.


13th March 2008
News of Missing Asmawi published in mainstream media
After 4 days of him went missing, news of missing Asmawi caught the media attention. The Star had this in their 13th March 2008 edition :-

An 11-year-old boy, Muhamad Asmawi Jalaludin, who went to play with his friends at the Kampung Kerinchi flats located about 200m from his house on March 9, has gone missing.

Brickfields acting OCPD Supt Azri Abdul Rahman said Muhamad Asmawi usually went to his friends' flats nearby to play videogames.

The boy had gone to the nearby flats at around 5pm on March 9. When questioned by the police, his friends said that the SRK La Salle pupil had gone home at 6.30pm that day.

When the boy left the house, he was wearing a pink T-shirt and grey shorts.

"The boy was last seen at the Mid-Valley Megamall by a friend. We are scrutinising the CCTVs in the shopping complex to find out if he was there," Supt Azri said on Thursday.

He added that Muhammad Asmawi's mother, Rozita Abu Hassan, 50, had received an SMS demanding ransom of a sum of money.

Police have identified the sender of the SMS but have yet to track the person down.

Rozita, when met at her home in Kampung Kerinchi here on Thursday, said she waited for her youngest son to return until evening and decided to search for him in the area but to no avail.

"Usually he goes cycling and plays football in the evenings and would be back by 5pm," said the mother of seven.

Anyone with information on Muhamad Asmawi's disappearance can contact the Rakan COP hotline at 03-2115 9999 or SMS to 32728 or call Rozita at 019-255 0279.

14th March 2008
Ugly SMS surfaced again
Ugly SMS surfaced again. Not only misleading SMSs, there was also SMS demanding ransom sent to Asmawi's mother. Click here for the full report.

17th March 2008
House to House Search for Missing Asmawi Commences

The Police commenced House to House Search for Missing Asmawi. Click here for more nedws on the matter.

18th March 2008
Search for Asmawi intensifies

The search for missing Asmawi intensifies though facts have revealed that there might be certain other factors that casts doubts that he was ever been kidnapped. Check here for details.

19th March 2008
Shahrizat Appointed as Special Adviser

Datuk Seri Shahrizat was appointed as a Special Adviser to to the Prime Minister for Women and Social Development Affairs. Her appointment is definately a welcoming news at least to C4NA as the broken communication link leading to the implementation of Nurin Alert is now reconnected. Click here for more news on her appointment.

21st March 2008
Youth who sent ransom SMS napped

The youth, all the way from Kota Kinabalu was napped by the police for sending the SMS demanding ransom from Asmawi's mother. Click here for more details.

Thank you for your continued patronage. Let's work towards zero missing child from now onwards.

Jasni AJ

Friday, March 7, 2008

Giant bantu kurangkan beban bapa Sharlinie

KUALA LUMPUR: “Terima kasih banyak-banyak. Saya tidak sangka ada syarikat besar yang sudi menghulurkan bantuan,” kata Mohd Nashar Mat Husin, 29, bapa kepada kanak-kanak hilang, Sharlinie,5.

Beliau mendapat sokongan kewangan berbentuk tajaan gaji selama tiga bulan daripada pengendali Pasaraya Giant, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya, dia tahu mengenai penajaan itu sejak seminggu lalu dan amat terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan syarikat berkenaan.

“Saya dalam dilema ketika ini kerana terpaksa memikirkan bagaimana menanggung keluarga kerana sudah masuk tiga bulan tidak bekerja.

“Dengan tajaan gaji ini, sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang, saya boleh tumpukan perhatian dalam usaha mencari Sharlinie,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Nashar bekerja sebagai juruelektrik di Bandar Tasik Permasuri di sini, terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja untuk mencari anaknya.

- Harian Metro

Thursday, March 6, 2008

SEMENJAK NURIN KE SHARLINIE

Semenjak Nurin
sehinggalah ke Sharlinie
adakah kita akan terus
tidak menghiraukan anak jiran
yang berkeliaran
di taman permainan sendirian
ke kedai tanpa teman
di lorong pintas keseorangan
entah siapa teman
sepermainan
tidak menjadi kehairanan
usahkan merasakan sama
bakal kehilangan.

Kembalikan hak jiran
menegur anak kita
kembalikan hak kita
memarahi anak jiran
tali kekeluargaan antara kita
telah lama terungkai
kerana keegoan kita
sehingga memangsakan kita
sendiri?

Kembalilah kita menjaga
tepi kain orang lain
supaya tepi kain kita juga
diperhatikan
jadikanlah kanak-kanak itu
seperti anak kita
seluruh warga negara
tanpa mengira bangsa dan
agama.

HASHIM YAHYA
Sek. 24, Shah Alam.

Dipetik dari Berita Harian Online

Monday, March 3, 2008

Polis yakin Sharlinie masih hidup

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Polis menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Sharlinie Mohd. Nashar yang hilang sejak 54 hari lalu tidak dapat dikesan kerana kemungkinan kanak-kanak malang itu telah meninggal dunia.

Sebaliknya, menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, polis percaya Sharlinie masih hidup memandangkan tiada petanda yang menunjukkan kanak-kanak itu telah tiada.

"Kita yakin Sharlinie masih hidup. Setakat ini, walaupun maklumat yang diterima agak terhad, tetapi ia tidak bermaksud polis percaya kanak-kanak itu telah tiada dan seterusnya menghentikan operasi mencari," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Sempena Pembinaan Balai Polis Baru Bandar Utama dekat sini hari ini.

Tambahnya, misi mencari Sharlinie, 5, masih diteruskan walaupun berdepan dengan kesibukan Pilihan Raya Umum ke-12.

"Kita masih terus mencari Sharlinie berpandukan maklumat yang ada tetapi menggunakan pendekatan berbeza," jelasnya.

Sharlinie, 5, hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya dari padang permainan di Taman Medan, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Januari lalu.

Pada majlis yang sama, Arjunaidi memberitahu, pembinaan balai polis baru berkonsepkan futuristik tersebut adalah bagi menggantikan pondok polis lama yang beroperasi dalam sebuah kontena sejak empat tahun lalu.

"Balai polis baru ini bakal dilengkapi bilik siasatan, bilik tahanan sementara, bilik senjata api, bilik taklimat dan juga dua unit kuarters apabila siap sepenuhnya pada April 2009."

"Selain itu, kemudahan logistik seperti kenderaan meronda, alatan komunikasi dan senjata juga turut diambil kira sejajar mewujudkan suasana bandar yang selamat seterusnya dapat memberi keyakinan kepada penduduk dan masyarakat di sini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Datin Paduka Yong Dai Ying, calon Ahli Parlimen Subang, S. Murugesan dan Pengarah Pembangunan Bandar Utama Sdn. Bhd., Datuk Teo Chiang Kok.

- Utusan Malaysia