KUALA LUMPUR 30 Mac – Keluarga Sharlinie Mohd. Nashar, 5, tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mencari kanak-kanak tersebut dan akan terus mengedar posternya kepada orang ramai.
Bapa kepada kanak-kanak malang itu, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, berharap masyarakat tidak cepat berputus asa dan meminta orang ramai sama-sama membantu dalam misi mencari anak bongsunya itu.
“Buat masa ini, poster Sharlinie sudah habis diedarkan dan saya harap orang ramai tidak akan melupakan anak saya begitu sahaja walaupun tempoh kehilangannya sudah terlalu lama.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa membantu dalam membuat rondaan mencari Sharlinie, mengedar poster dan menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada pagi 9 Januari lalu.
Kehilangan Sharlinie yang kini masuk hari ke-82 terus menjadi misteri kerana tidak ada sebarang petunjuk yang dapat mengesan penculiknya serta lokasi kanak-kanak itu.
Menurut Mohd. Nashar, beliau masih lagi menunggu laporan daripada pihak polis untuk mengetahui sebarang perkembangan tentang kes anaknya itu.
Bagi pihak beliau, katanya, mereka akan terus membuat rondaan di kawasan-kawasan tertentu yang dipercayai dijadikan tempat penyembunyian Sharlinie.
“Kami tetap akan membuat rondaan dan menyerahkan kerja siasatan kepada polis,” katanya.
- Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment