Friday, April 11, 2008

UiTM anjur program keselamatan kanak-kanak

SHAH ALAM, Orang ramai khususnya penduduk di Lembah Klang dijemput menghadiri program kesedaran keselamatan kanak-kanak pada Sabtu ini di Dewan Serbaguna Menara TM, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 pagi.Program anjuran pelajar-pelajar tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam (e-PJJ), Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mendapat kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM), Polis Diraja Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita.

Ahli Jawatankuasa Publisiti program, Kamaruzaman Abu berkata, program tersebut diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa serta kanak-kanak tentang risiko yang berada di sekeliling mereka.

"Ibu bapa dan kanak-kanak perlu sentiasa diingatkan tentang bahaya yang ada di sekitar mereka.

"Langkah sebegini sedikit sebanyak dapat membantu mereka supaya lebih berwaspada dan tahu cara-cara menjaga keselamatan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, satu demonstrasi penjagaan keselamatan juga akan dipertontonkan kepada orang ramai yang akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamal Affandi Hashim.

Selain itu, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diculik, Nurin Jazlin dan Sharlinie akan berkongsi pengalaman mereka bersama pada hadirin.

- Utusan Malaysia

No comments: