KUALA LUMPUR 1 Jun - Ahli keluarga kepada Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang hilang berhampiran rumahnya di Petaling Jaya kira-kira enam bulan lalu, khuatir orang ramai mula melupakan kes tersebut.
Bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussein, 29, berkata, perkembangan itu akan menyebabkan usaha mencari anaknya hanya bergantung kepada polis dan ahli keluarganya sahaja.
Ini kerana jelasnya, bantuan orang ramai terutama dalam menyalurkan maklumat amat diharapkan supaya anaknya dapat ditemui segera.
''Hari ini sudah 145 hari Sharlinie hilang tetapi kami sekeluarga tidak putus asa mencari dan berdoa dia selamat dikembalikan.
''Baru-baru ini pegawai dari Ibu Pejabat Petaling Jaya menghubungi saya memberitahu mereka masih menyiasat kes itu dan berharap saya terus bersabar,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharlinie hilang, dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.
Sejak itu, selain polis, pelbagai pihak termasuk media dan orang perseorangan menghulurkan bantuan mencarinya tetapi sehingga kini usaha itu masih gagal membuahkan hasil.
Mohd. Nashar dengan nada sedih menyatakan mereka sekeluarga amat merindui Sharlinie.
''Sejak kehilangannya, kehidupan kami sekeluarga tidak seceria dahulu.
"Kami rindukan suaranya, tolonglah pulangkan kembali Sharlinie ke pangkuan kami," luahnya dengan penuh harapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi menegaskan, pihaknya terus berusaha menjejaki kanak-kanak itu walaupun maklumat terbaru mengenainya semakin kurang diterima.
Beliau berkata, kes itu tidak pernah ditutup dan gerakan mencarinya akan berterusan sehingga pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.
- Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Semestinya sebagai seorang bapa perasaan tersebut tidak boleh dibendung daripada dirasai.
Saya percaya pihak polis telah & sedang melakukan yang terbaik dalam menjalankan siasatannya terhadap kes adik Sharlilie walaupun setakat ini hasilnya tidak diketahui. Sama ada pihak polis mempunyai lead atau tidak hanya mereka yang mengetahui.
Walaubagaimanapun nampaknya d sini perlu ada kumpulan sokongan (support group) untuk mendampingi keluarga mangsa-mangsa yang dilarikan seperti bapa Sharlinie. Mereka ini sedikit sebanyak boleh menjadi pihak yang mendengar rintihan & keluhan beliau seperti kata orang -'a shoulder to cry on'.
Tetapi yang pasti usaha mencari mestilah diteruskan dan setakat ini rasanya pihak yang berkuasa & berusaha telah berjaya menyebarkan maklumat mengenai adik Sharlinie ini di serata tempat & setiap pelosok. Posternya masih lagi ditampal di merata tempat. Cuma apakah ada lagi usaha & cara yang lain yang boleh dilakukan untuk memantapkan lagi pencarian ini?
Post a Comment