Monday, September 17, 2007

GPMS Pergiat Kempen Cari Nurin Ke Peringkat Negeri

16 September, 2007 13:28 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempergiatkan kempen mencari Nurin Jazlin Jazimin, 8, ke peringkat negeri dengan mengedarkan poster kanak-kanak itu ke 142 cawangannya di seluruh negara.

Jurucakap GPMS cawangan Wangsa Maju Muhammad Azruddin Alias berkata pengedaran poster itu dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak persatuan itu melancarkan kempen mencari Nurin, Jumaat lalu.

"Setakat ini GPMS telah mengedarkan 20,000 keping poster Nurin ke Pahang. Bermula minggu depan edaran akan dibuat ke Perak, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Muhammad Azruddin berkata GPMS akan menggerakkan anggotanya di semua cawangan bagi mempergiatkan operasi mencari Nurin dengan berbekalkan 20,000 keping poster bagi memudahkan usaha mengesan kanak-kanak itu.

Sejak kehilangan Nurin dilaporkan selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini 20 Ogos lepas, banyak pihak tampil untuk membantu mengesan kanak-kanak terbabit.

-- BERNAMA

No comments: