Thursday, September 6, 2007

Kaedah hipnosis kesan Nurin


TERUS MENCARI... Bapa Nurin, Jazimin Jalil menampal poster bagi mengesan anaknya itu yang hilang sejak lebih dua minggu lalu pada pintu masuk Surau Keramat Hujung, Kuala Lumpur, semalam, sambil diperhatikan oleh Husin Ahmad (kanan) dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). – Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH.

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Usaha mengesan kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang memasuki hari ke-15 hari ini turut menggunakan kaedah perantaraan jarak jauh atau remote viewing oleh pakar forensik hipnosis, Dr. Sazali Ahmad.

Kaedah itu yang pernah digunakan ketika menjejaki kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali, 5, atau Yin pada Mac lepas bertujuan untuk mengenal pasti lokasi Nurin dan berhubung melalui minda bagi mengetahui keadaan kanak-kanak malang itu.

Melalui proses terapi minda yang dijalankan di rumah keluarga Nurin, beberapa petunjuk diperoleh daripada tiga perantara iaitu ibu Nurin, Norazian Bistaman, sepupu mangsa yang dikenali sebagai Fadilah dan seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan.

Dr. Sazali berkata, salah seorang daripada perantara itu dapat berinteraksi melalui minda dengan Nurin yang kini dipercayai disembunyikan oleh dua lelaki di sebuah rumah.

“Daripada petunjuk yang diperoleh, kita tidak menolak kemungkinan Nurin masih berada di sekitar Lembah Klang dan kita akan mencuba lagi melalui proses itu bagi mengenal pasti lokasi yang lebih tepat di mana Nurin berada,” katanya.

Katanya, segala maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dr. Sazali berkata, dalam kes kehilangan Yin, mereka berjaya merekodkan lokasi rumah pasangan Myanmar yang menjaga Yin melalui kaedah sama yang dijalankan ke atas ibu Yin.

“Lukisan yang dilukis seperti yang dilalui oleh ibu Yin sama dengan keadaan rumah pasangan Myanmar itu hingga berjaya berinteraksi melalui minda dengan pasangan Myanmar itu yang akhirnya memulangkan Yin kepada polis,” katanya.

Katanya, kaedah forensik hipnosis itu masih belum dikenali di Malaysia, namun penggunaannya telah meluas di Amerika Syarikat terutama oleh ejen perisik bagi mengenal pasti lokasi sasaran musuh.

Sementara itu, Norazian berkata, beliau berharap kaedah itu boleh memberikan maklumat yang lebih tepat tentang kehilangan anak keduanya itu.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk menggunakan perubatan Islam dan tradisional malah lebih 10 pakar dalam kedua-dua bidang itu telah tampil membantu.

Dalam kejadian 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin hilang apabila tidak pulang semula ke rumah selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.

Kehilangannya membimbangkan kedua-dua ibu bapanya kerana kanak-kanak itu mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Sehingga kini ganjaran RM8,000 ditawarkan kepada individu yang dapat memberi maklumat sehingga Nurin ditemui semula.

– Bernama

No comments: