Tuesday, September 4, 2007

Temui Nurin: Ganjaran RM8,000

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Jumlah ganjaran kepada individu yang memberi maklumat hingga berjaya membawa kepada penemuan Nurin Jazlin Jazimin meningkat kepada RM8,000 apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyumbangkan RM3,000.

Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata sumbangan itu sebagai usaha mengesan Nurin Jazlin yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lepas.

“Kami harap dengan sumbangan ini akan lebih ramai lagi yang tampil membantu mengesan adik Nurin hingga membawa kepada penemuannya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata selain sumbangan itu, PPIM juga akan menganjurkan solat hajat di Jalan Keramat esok.

Sebelum ini anggota Parlimen Wangsa Maju, Teo Ng Look menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang menemui Nurin.

Nurin Jazlin, kanak-kanak yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi itu dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam di Seksyen 1, Wangsa Maju yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Sementara itu ibu Nurin, Norazian Bistaman, 35, berkata beliau dapat membayangkan puasa tahun ini tidak akan semeriah tahun-tahun sebelumnya selagi anak keduanya itu belum ditemui.

Kebiasaannya pada bulan Ramadhan, Nurinlah yang paling bersemangat untuk menunaikan ibadat puasa walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan, katanya.

– Bernama

No comments: