Oleh: NORHANA SALASHAR BASHARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Ogos – Ibu kepada Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya Isnin lalu, buntu memikirkan nasib anaknya yang masih belum ditemui sehingga kini.
Norazian Bistaman, 35, memberitahu, walaupun berita mengenai kehilangan Nurin Jazlin telah dihebahkan tetapi tiada sebarang maklumat diterima mengenai anaknya itu.
“Kami telah mengedarkan poster dan risalah serta menyebarkan maklumat mengenai kehilangan Nurin Jazlin kepada rakan-rakan dan sanak saudara.
“Dalam masa yang sama, adik saya juga telah menghebahkan berita tersebut menerusi e-mel kepada rakan-rakannya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu, seorang pelajar tahun dua yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.
Kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu membimbangkan ibu bapanya, lebih-lebih lagi kanak-kanak tersebut perlu memakan ubat setiap hari.
Ibu kepada empat orang anak perempuan ini berkata, anak sulungnya, Nurin Jazshira, 9, demam sejak kehilangan Nurin Jazlin dipercayai akibat rindukan adiknya kerana mereka amat rapat.
Selain Nurin Jazlin dan Nurin Jazshira, dua lagi anak Norazian ialah Nurin Jazrina, 6, dan Nurin Jazlisa, 1.
Tambah Norazian, sejak anaknya hilang lima hari lalu, suaminya Jazimin Abd. Jalil, 33, yang bekerja sebagai pemandu teksi terpaksa bercuti bagi mencari anaknya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal ketika dihubungi di sini hari ini memberi jaminan biro tersebut akan membantu keluarga mangsa mencari kanak-kanak tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nurin Jazlin diminta menghubungi telefon bimbit Norazian dan suaminya Jazimin di talian 019-3667067 atau 013- 2486651 dan Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO di talian 019-3255886 atau 03- 40441199.
-Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment