Oleh Wan Noriza Meor Idris
KUALA LUMPUR: Wang tunai RM5,000 menjadi ganjaran kepada individu yang menjumpai Nurin Jazlin, 8, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah, iaitu kanak-kanak yang hilang selepas meminta kebenaran ibunya untuk ke pasar malam berhampiran kediamannya di Wangsa Maju, di sini, Isnin lalu.
Difahamkan, ganjaran berkenaan disediakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Teo Ng Look, yang amat prihatin dengan kehilangan Nurin dan berharap dengan ganjaran itu, kanak-kanak berkenaan akan segera dipulangkan ke pangkuan keluarga.
Bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, 33, berkata sejak berita kehilangan anaknya disiarkan akhbar, banyak pihak menunjukkan keprihatinan termasuk Teo yang menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang menemui anaknya.
"Bagaimanapun keadaan masih samar, kami masih belum menerima apa-apa khabar berita mengenai Kak Ngah walaupun orang ramai tidak henti-henti menghantar SMS sebagai tanda prihatin dan simpati.
"Dalam pada itu, kami juga ada menerima SMS berunsur ugutan," katanya.
Jazimin berkata, keluarganya masih meneruskan pelbagai ikhtiar termasuk menunaikan solat hajat dan mengedarkan poster di kawasan sekitar termasuk di Klang, Hulu Klang, Perak dan beberapa daerah lain.
Jazimin dan isterinya, Norazian Bistaman, 35, berharap Nurin segera ditemui kerana amat bimbangkan kesihatan anaknya itu yang menghidap sakit buah pinggang serta darah tinggi dan perlu mengambil ubat setiap hari.
"Saya harap dengan bantuan pihak akhbar dan liputan meluas, sesiapa yang mengambil anak saya tidak berani membawanya keluar dari negara ini.
"Kami berdoa dia (Kak Ngah) dipulangkan dalam keadaan selamat, naluri hati sebagai seorang bapa mengatakan anak saya masih lagi berada di kawasan sekitar," katanya.
Semalam, pasangan berkenaan turut menerima kunjungan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, yang memberikan semangat kepada mereka.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata polis sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mencari diperluaskan di sekitar kawasan Lembah Klang.
Nurin Jazlin dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sejurus keluar dari rumahnya untuk ke pasar malam seorang diri tanpa ditemani kakak dan adik seperti kebiasaannya.
Keluarganya percaya anak mereka dipukau kerana biasanya dia tidak pernah mengikuti orang yang tidak dikenali.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Nurin Jazlin diminta menghubungi 019-3667067/013-2486651 atau mana-mana balai polis berhampiran.
- Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment