Thursday, August 30, 2007

Saksi Nampak Lelaki Tarik Nurin Ke Dalam Van - Ketua Polis Sentul

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, mendapat petunjuk baru berikutan terdapat seorang saksi yang melihat mangsa ditarik menaiki sebuah van berwarna putih pada malam kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP K. Kumaran berkata maklumat itu diberikan oleh seorang rakan mangsa dari kawasan perumahan yang sama dekat Seksyen 1 Wangsa Maju di sini.

"Kita sedang meneliti maklumat itu memandangkan ia dapat membantu pencarian Nurin. Polis juga telah menemubual beberapa rakan mangsa yang ketika kejadian dipercayai berada bersama Nurin," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut mendapat maklumat terbaru yang boleh dikaitkan dengan kehilangan Nurin, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu ibu Nurin, Norazian Nistaman, 35, berkata maklumat itu diperoleh apabila polis menjalankan operasi mengesan Nurin dari rumah ke rumah bermula semalam.

Katanya ketika polis menemubual rakan-rakan sepermainan Nurin, salah seorang kanak-kanak lelaki (rakan Nurin) memberitahu bahawa dia melihat Nurin berbual dengan seorang lelaki.

"Lelaki itu dalam usia lewat 30-an berbual seketika dengan Nurin, seolah-olah memujuknya sebelum menarik Nurin ke dalam sebuah van berwarna putih," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Norazian berkata rakan berkenaan tidak mengenali lelaki misteri itu dan menganggap bahawa dia adalah saudara kepada Nurin, murid tahun dua.

Kehilangan Nurin yang masuk hari ke sepuluh kini diklasifikasikan sebagai kes culik dan disiasat mengikut Sekyen 363 Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, operasi besar-besaran melibatkan 300 tenaga termasuk polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Rukun Tetangga dijalankan semalam.

Operasi yang bermula pukul 5 petang itu ditumpukan kepada lapan kawasan utama antaranya Wangsa Maju, Sentul, Taman Sri Rampai, Setapak, Kepong dan Jinjang.

Isnin lepas, Nurin yang juga seorang pesakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.

-- BERNAMA

No comments: