Thursday, August 30, 2007

Nurin mungkin diculik – Polis

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kehilangan kanak-kanak perempuan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang masuk hari kesembilan hari ini kini diklasifikasikan sebagai kes penculikan, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran.

Katanya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan penculik terbabit boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Polis yakin mangsa (Nurin Jazlin) telah diculik dan bukannya hilang seperti yang digambarkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kumaran, sejak hari pertama kehilangan Nurin Jazlin, sebanyak 30 orang yang terdiri daripada penjaja dan anggota keluarganya dipanggil untuk memberikan keterangan.

‘‘Siasatan terkini menunjukkan mangsa pulang ke rumah selepas membeli murtabak di pasar malam berdekatan dan kemudian dia turun semula untuk membeli penyepit rambut.

‘‘Sekarang maklumat yang diperoleh sedang ditapis untuk tindakan selanjutnya. Kita juga mendapat maklumat terbaru mengenai kehilangannya tetapi ia tidak boleh didedahkan,’’ ujarnya.

Kumaran enggan mendedahkan sebarang bukti yang menjurus kepada kes penculikan tersebut kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.

Difahamkan, petang ini anggota polis dari Balai Polis Wangsa Maju mengambil beberapa bahan bukti milik mangsa termasuk beg sekolah dan pakaian dari rumahnya di Wangsa Maju di sini.

Kumaran memberitahu, 2,000 poster mengenai kehilangan mangsa telah diedarkan di sekitar ibu kota sejak semalam.

Tambahnya, hampir 300 tenaga termasuk polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Rukun Tetangga terlibat dalam misi mencari mangsa.

Operasi yang bermula sejak pukul 5 petang itu katanya, ditumpukan kepada lapan lokasi utama antaranya di Wangsa Maju, Sentul, Taman Sri Rampai, Setapak, Kepong, dan Jinjang.

“Kami akan masuk dari rumah ke rumah termasuk rumah kosong, setinggan, rumah kongsi dan premis hiburan.

‘‘Sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan pemeriksaan menyeluruh terhadap rumah atau premis itu akan dilakukan. Usaha ini akan berterusan sehingga Nurin Jazlin ditemui,” tambahnya.

Isnin lalu, murid tahun dua itu yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.

- www.puteri.net.my

No comments: