Thursday, August 30, 2007

Saksi nampak Nurin dilarikan van putih

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Operasi mencari kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, beroleh petunjuk baru apabila polis menerima maklumat menyatakan kanak-kanak tersebut dilarikan oleh seorang lelaki dengan menaiki sebuah van berwarna putih.

Bapanya, Jazimin Abd. Jalil, 33, berkata, maklumat tersebut didedahkan oleh seorang kanak-kanak perempuan seusia Nurin Jazlin semasa mereka menjalankan operasi dari rumah ke rumah di Seksyen 1 Wangsa Maju semalam.

‘‘Budak perempuan yang juga rakan anak saya memberitahu, dia ternampak Nurin Jazlin ditarik masuk ke dalam sebuah van oleh seorang lelaki pada malam kejadian.

‘‘Dia tidak memaklumkan perkara itu lebih awal kerana menyangkakan lelaki itu salah seorang daripada ahli keluarga kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Isnin lalu, Nurin Jazlin yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi itu dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.

Misteri kehilangan Nurin Jazlin menimbulkan tanda tanya kerana walaupun sudah 10 hari kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang namun cubaan mengesannya masih belum berhasil hingga ke hari ini dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai penculikan.

Jazimin berkata, laporan polis mengenai maklumat terbaru itu telah dibuat semalam dan dia amat berharap perkara itu berupaya membawa kepada penemuan anaknya dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran ketika dihubungi mengesahkan polis menerima maklumat tersebut.

Sementara itu, ibu mangsa, Norazian Bistaman, 35, menegaskan mereka tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan anaknya itu malah amat menyayangi dan sentiasa mengambil berat diri Nurin Jazlin.

‘‘Kami tidak pernah membenarkan Nurin Jazlin pergi ke mana-mana secara berseorangan dan mengakui terlepas pandang kerana Nurin Jazlin pergi ke pasar malam seorang diri pada malam kejadian,” katanya sedih.

Norazian berkata, selepas berita mengenai kehilangan anaknya itu disiarkan media, ramai pihak melemparkan tohmahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan mereka punca kepada kehilangan Nurin Jazlin.

Menurutnya, kebanyakannya SMS tersebut mendakwa, dia dan suami tidak pandai menjaga anak dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak tersebut sehingga anaknya itu hilang.

Tambahnya, tohmahan-tohmahan tersebut membuatnya berada dalam keadaan tertekan selain segan untuk berhadapan dengan orang ramai walaupun jiran tetangga.

Justeru, dia berharap supaya masyarakat tidak menyalahkan mereka kerana kehilangan anaknya itu sudah cukup membuat keluarganya berada dalam keadaan runsing.

‘‘Kami tidak pernah abaikan keselamatannya dan apa yang berlaku kami terima dengan cekal di samping terus berdoa dan berusaha mencarinya,” jelasnya.

- Utusan Malaysia

No comments: