Thursday, August 30, 2007

Kami rindukan Nurin



Oleh UMAVATHI RAMAYAH



NURUL Aina Mohd. Nooh merenung poster mengenai kehilangan Nurin Jazlin Jazimin di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, bukan saja dirasai keluarganya malah rakan-rakan dan gurunya di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak di sini.

Malahan, mereka sanggup berkongsi wang untuk membeli hadiah berupa set alat tulis untuk dihadiahkan kepada Nurin sekembalinya ke sekolah kelak.

“Saya tahu Nurin mesti ke sekolah tak lama lagi,” kata rakan karibnya, Mohd. Afizy Azman, 8.

Mohd. Afizy memberitahu, dia selalu bermimpikan Nurin kembali bersekolah.

Menurutnya, walaupun Nurin seorang yang pendiam dan pemalu tetapi dia dan rakan-rakan begitu sedih terutama setiap kali melihat tempat duduknya yang kosong.

Seorang lagi rakannya, Nurul Aina Mohd. Nooh, 8, berkata, mangsa ada menyatakan hasratnya mahu ke pasar malam sebelum cuti penggal bermula.

Sementara itu, guru kelasnya, Zuraini Ismail memberitahu, walaupun Nurin tidak secergas kanak-kanak lain kerana mengalami masalah kesihatan tetapi prestasi akademiknya tetap cemerlang.

“Dia tidak pernah putus asa dan selalu tunjukkan semangat tinggi untuk belajar,” katanya ketika ditemui di sekolah hari ini.

Kata Zuraini, Nurin yang belajar di situ sejak prasekolah tidak mudah bergaul dengan orang baru terutamanya lelaki.

“Dia seorang pelajar yang jarang ponteng kelas walaupun mempunyai sedikit masalah kesihatan,” katanya.

Sehubungan itu, Zuraini berkata, pihak sekolah telah mengadakan sembahyang hayat dan meminta orang ramai sama-sama berdoa agar kanak-kanak itu pulang secepat mungkin.

Sementara itu, bapa mangsa, Jazimin Abd. Jalil, 33, ketika ditemui di rumahnya di Wangsa Maju dekat sini percaya, anaknya itu telah dipukau.

“Dia (Nurin Jazlin) jarang keluar seorang diri dan bergaul dengan orang luar.

“Kami terlepas pandang, kesilapan kami membuatkan kami menderita hampir seminggu,” ujarnya dalam nada sebak.

Katanya, hampir setiap hari, isterinya menerima kira-kira 100 khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Lebih separuh daripada SMS yang diterima berunsur ejekan dan mengutuk kami,” katanya.

Menurut Jazimin, seorang pengamal tradisonal yang datang menawar diri kerana simpati dengan keadaan keluarga mangsa memberitahunya bahawa Nurin kini berada di sebuah rumah di sekitar Setapak dan dia dipercayai dipukau.

Isnin lalu, Nurin yang menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam, kira-kira pukul 8.30 malam.

- Utusan Malaysia

No comments: