Thursday, August 30, 2007

Rakan karib rayu kembalikan Nurin



Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Nahar Tajri


KUALA LUMPUR: “Kembalikan Nurin. Kami amat merindui dan menyayanginya. Dia adalah kawan yang baik dan suka membantu rakan terutama dalam pelajaran bahasa Inggeris.

“Kami semua sedih bila melihat tempat duduk Nurin kosong pada hari pertama persekolahan selepas bercuti seminggu,” kata seorang rakan karib Nurin Jazlin Jazimin yang belajar di kelas Dedikasi, tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Wangsa Maju, di sini semalam.

Zechariah Aaron, 8, mahu rakannya yang murah hati dan berani itu dikembalikan ke pangkuan keluarganya supaya dapat bersekolah seperti biasa.

“Nurin akan terus bertanya guru jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan akan mengajar rakan lain. Nurin juga pernah memberi saya sebatang pensil kerana pensil saya hilang ketika guru minta kami menyiapkan kerja sekolah dalam kelas,” katanya.

Kanak-kanak penghidap darah tinggi dan sakit buah pinggang yang dipanggil Kak Ngah oleh keluarganya dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, ketika dalam perjalanan ke pasar malam berhampiran rumahnya jam 8 malam 20 Ogos lalu.

Rakan sekelas, Mohd Aidiladha Aznan, berkata Nurin selalu membantu rakan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan tidak pernah menolak jika kami meminta bantuan.

Seorang lagi rakan, Nurul Aina Mohd Noh, berkata Nurin tidak pernah mendatangkan masalah dengan rakan sekelas kerana sifatnya yang penyayang dan banyak berdiam serta tidak suka membuat bising.

“Sepanjang hari ketika di sekolah, Nurin banyak menghabiskan masa di tempat duduknya dengan membaca dan menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil, berkata semua pihak perlu memperhebatkan gerakan mencari Nurin supaya kanak-kanak itu dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Beliau juga menyelar tindakan segelintir masyarakat yang suka membuat panggilan palsu dan mempermainkan perasaan orang serta menyifatkannya sebagai tidak peka dengan kesusahan orang lain.

Dalam gerakan mencari Nurin, Naib Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Datin Ismalina Ismail, berkata pihaknya mencetak dan mengedar kira-kira 2,500 poster bagi membantu mengesan kanak-kanak berkenaan.

- Berita Harian

3 comments:

Carneyz said...

Salam. I've been following this case closely and would like to share how sorry I am at what is happening to your family right now. Your niece is a very pretty child and I hope she will return home, safe and sound. I wish I can share useful information with you but unfortunately i do not have any at the moment. Keep on praying to Allah and He will surely help to lead you all to Nurin.
Lastly, may Allah bring her back to your family a.s.a.p. Amin.

Anonymous said...

Salam,

Kami doakan Allah aku menemukan semula Nurin kepangkuan keluarga.
Saya juga turut serta berkongsi kesedihan saudara sekeluarga di blog saya.

Wassalam.
http://eddyra.net

Jasni AJ said...

Terima kasih semua. Sememangnya peristiwa ini merupakan satu trauma bagi kami sekeluarga yang tidak pernah terfikir perkara seumpama ini boleh berlaku kepada kami.

Doa berterusan tuan puan sekelian amatlah kami hargai.