Tuesday, August 28, 2007
Nurin sempat beli murtabak sebelum hilang
DI MANA NURIN JAZLIN... Bapa kanak-kanak yang hilang, Jazimin Abdul Jalil (tiga dari kiri) bersama Ketua Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju, Ismalina Ismail (kiri) mengedarkan poster Nurin Jazlin kepada orang ramai dan peniaga di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam. – Gambar AZLAN BAHRUM.--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Kanak-kanak perempuan, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak seminggu lalu kali terakhir dilihat membeli murtabak di pasar malam Seksyen 1, Wangsa Maju di sini pada waktu Maghrib Isnin lepas.
Peniaga murtabak, Kamarul Hisham Ab. Suki, 27, berkata, sebaik sahaja duit RM4 untuk membeli dua keping murtabak diserahkan kepadanya, Nurin Jazlin tidak terus pulang ke rumah sebaliknya berbual-bual dengan seorang peniaga di sebelah gerainya dalam keadaan hujan renyai-renyai ketika tu.
‘‘Dia (Nurin Jazlin) tidak kekok berbual-bual dengan peniaga di sekitar pasar malam ini kerana kanak-kanak perempuan itu sering berkunjung ke sini.
‘‘Saya sendiri sudah biasa dengannya sebab boleh dikatakan setiap minggu dia datang membeli murtabak saya,’’ katanya kepada pemberita Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di pasar malam tempat Nurin Jazlin dilaporkan hilang di sini malam ini.
Pasar malam berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari rumah kanak-kanak malang itu.
Menurut Kamarul, dia tidak melihat ke mana pelajar tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak itu pergi selepas itu kerana sibuk melayan pelanggan.
‘‘Tiba-tiba dia sudah tiada, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangkakan dia sudah pulang ke rumah,’’ katanya.
Sementara itu, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abd. Jalil, 33, berharap ibu bapa tidak membiarkan anak-anak keluar rumah bersendirian tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lebih dewasa.
‘‘Kehilangan Nurin Jazlin memberi saya dan isteri satu pengajaran yang berguna iaitu lebih berhati-hati selepas ini.
‘‘Saya berharap semua ibu bapa menjadikan kes kehilangan anak saya ini sebagai satu pengajaran agar kita lebih peka dan prihatin terhadap keselamatan mereka,’’ katanya dalam nada sebak ketika ditemui di rumahnya.
Kehilangan Nurin Jazlin yang masuk hari kelapan turut mendapat simpati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berjanji membantu usaha mencari kanak-kanak itu.
Shahrizat yang meluangkan masa hampir sejam melawat keluarga Jazimin turut meminta orang ramai bersama-sama mencari Nurin Jazlin dan memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.
- Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Harap Nurin Jazlin dapat di temui secepat mungkin. Insha-Allah Nurin selamat dan kembali ke pangkuan ibubapanya.
Post a Comment