Monday, August 27, 2007

Kehilangan Nurin Misteri

Oleh: ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang kini memasuki hari keenam menimbulkan tanda tanya kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesannya.

Bapanya, Jazimin Abd. Jalil, 33, yang masih dalam keadaan runsing dan sedih ketika ditemui di rumahnya di Wangsa Maju, di sini turut menyatakan kehairanannya kerana Nurin Jazlin masih gagal dikesan walaupun mendapat liputan akhbar.

Jelasnya, Nurin Jazlin yang merupakan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak, di sini adalah seorang kanak-kanak pintar serta tidak mudah mengikuti sesiapa apatah lagi jika orang itu tidak dikenalinya dan sentiasa mendengar kata ibu bapa.

‘‘Sejak kecil, saya dan isteri sentiasa berpesan kepadanya supaya tidak ikut sesiapa yang dia kenal atau tidak kenal.

‘‘Dia akan hanya mengikut orangorang tertentu dengan izin kami dan selama ini dia menerima nasihat itu,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan kehilangan Nurin yang merupakan penghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri.

‘‘Nurin Jazlin pasti akan melawan sekiranya terdapat sebarang cubaan mengasari atau menangkapnya. Justeru, saya hairan dengan kehilangannya,’’ katanya.

Jelasnya, seandainya Nurin Jazlin menjerit atau meronta, pasti kejadian itu akan dilihat atau didengari oleh orang ramai yang berada di pasar malam tersebut.

‘‘Keadaan di sekitar pasar malam itu pun tidak sunyi kerana ia kawasan yang dikelilingi flat,’’ jelasnya.

Dia menaruh harapan anaknya itu selamat dan akan mengambil apa jua inisiatif untuk mengesan serta mencari Nurin Jazlin.

Menurutnya, antara ikhtiar yang telah dilakukan adalah menggunakan khidmat beberapa ustaz selain mengadakan solat hajat serta bacaan Yasin oleh keluarga dan jiran tetangga malam semalam.

Sementara itu, ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman enggan ditemu ramah kerana masih bersedih.

- Utusan Malaysia

3 comments:

Anonymous said...

Jasni dan seluruh keluarga Nurin,

Saya berdoa agar Allah pulangkan Nurin kepada pangkuan keluarga secepat mungkin didalam keadaan selamat. InsyaAllah, kami sekeluarga akan menyampaikan kepada seberapa banyak sahabat handai blogspot ini, semoga lebih ramai orang tahu dan turut menolong. Saya tidak dapat fikirkan bagaimana kalau anak saya yang berumur 8 tahun hilang, mungkin saya jadi tidak siuman.

Jas, Zarah and myself will put our effort in this, along with many of your ex-ITM and ex-Mesiniaga colleagues..

Jasni AJ said...

Thanks Farid, semoga doa kita bersama dimaqbulkan Nya.

bdk2 said...

pembunuh mcm ini mst dihukum dngan setimpal apa yg dia telah lakukan.