Monday, August 27, 2007

Syak dipukau




Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kehilangan misteri seorang budak perempuan berusia lapan tahun ketika sedang memilih penyepit rambut di pasar malam yang letaknya tidak sampai 500 meter dari rumahnya, Isnin lalu kemungkinan dipukau sebelum dilarikan.

Jazimin Abd Jalil, 33, mensyaki anaknya, Nurin Jazlin dipukau berikutan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak terbabit tidak mudah mengikut orang tidak dikenali.

Katanya, dia dan keluarganya yakin kanak-kanak itu ‘dibodohkan’ supaya dapat dilarikan.

“Saya pasti kehilangannya bukan kehilangan biasa memandangkan ketika kejadian dia berada di tempat tumpuan ramai selain turut diperhatikan dari jauh oleh kakaknya, Nurin Jazshira yang berusia sembilan tahun” katanya ketika di temui di rumahnya di Wangsa Maju di sini, semalam.

Nurin Jazlin adalah anak kedua daripada empat adik-beradik berusia sembilan, enam dan setahun.

Jazimin, seorang pemandu teksi berkata, laporan polis sudah dibuat sejurus kehilangan Nurin Jazlin tetapi hingga kini masih tiada maklumat diterima daripada pihak berkuasa berkenaan.

Selain itu, dia turut mengambil inisiatif mengedar poster gambar Nurin Jazlin berserta nombor untuk dihubungi di sekitar Wangsa Maju, termasuk kedai runcit dan kedai makan bagi memudahkan usaha mencari.

Malah, katanya poster itu turut diedar kepada belia kawasan berkenaan bagi sama-sama membantu mengesan anaknya.

“Saya berhasrat memperluaskan lagi pengedaran poster ini ke seluruh ibu kota bagi mempercepatkan usaha mengesan Nurin Jazlin sebelum dia dibawa lebih jauh,” katanya.

“Saya juga khuatir akan kesihatannya yang tidak begitu baik memandangkan Nurin Jazlin disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi sejak berusia empat tahun lagi dan perlu mengambil ubat setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, dia turut meminta orang ramai yang melihat Nurin Jazlin yang berambut panjang paras pinggang dengan ketinggian hampir empat kaki supaya menghubunginya di 019-3667067 atau menghubungi isterinya, Norazian Bistaman di 013-2486651.

- Harian Metro

No comments: