Tuesday, August 28, 2007

Sudah seminggu Nurin Jazlin tidak dapat bekalan ubat

Oleh: NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Bapa kanak-kanak perempuan, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak Isnin lalu semakin runsing memikirkan nasib anaknya yang kini telah seminggu tidak mendapat bekalan ubat untuk penyakit buah pinggang dan darah tinggi yang dihidapinya.

Menurut Jazimin Abd. Jalil, 33, Nurin Jazlin sepatutnya mengambil ubat setiap hari kerana tanpa ubat itu badannya akan lemah.

“Selain itu, badannya juga akan membengkak dan mengalami kekejangan serius jika dia putus bekalan ubat,” kata Jazimin ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kehilangan Nurin Jazlin yang masuk hari ketujuh mendapat simpati Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman yang berjanji membantu usaha mencari kanak-kanak itu.

Zainal Abidin yang meluangkan masa lebih sejam melawat keluarga Jazimin di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini akan meminta bantuan UMNO, persatuan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan kanak-kanak itu.

Beliau memberitahu, poster- poster mengenai kehilangan Nurin Jazlin juga akan diedarkan serta ditampal di tempat-tempat strategik di seluruh negara.

“Kes kehilangan kanak-kanak wajar diberi perhatian serius kerana ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini,” katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan kehilangan Nurin Jazlin selepas kanak-kanak itu

keluar seorang diri ke pasar malam yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Kehilangan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu menimbulkan tanda tanya kerana dia gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Sementara itu, Jazimin memberitahu, dia banyak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon daripada orang ramai mengatakan anaknya berada di pelbagai tempat.

“Saya runsing. Ada yang menyatakan anak saya berada di Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor dan pelbagai tempat lagi menyebabkan saya menjadi keliru,” tambahnya.

Namun, ada juga orang yang menelefon memberikannya kata-kata semangat dan menawarkan diri untuk membantu mencari Nurin Jazlin.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, polis masih menyiasat kehilangan Nurin Jazlin.

“Buat masa ini tidak banyak yang dapat diperkatakan kerana usaha sedang giat dijalankan.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nurin Jazlin juga boleh menghubungi telefon bimbit Jazimin atau isterinya Norazian Bistaman di talian 019-3667067 atau 013-2486651.


- Utusan Malaysia

No comments: