Tuesday, August 28, 2007

Jangan beri info palsu pada ibu bapa Nurin Jazlin









27-08-2007 10:56:53 PM

KUALA LUMPUR: Mereka yang membuat panggilan palsu kepada ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit membuat panggilan palsu itu memandangkan kehilangan Nurin Jazlin adalah satu peristiwa pahit bagi ibu bapa kanak-kanak itu dan tidak wajar dipermainkan.

"Saya dimaklumkan ibu bapa Nurin menerima puluhan panggilan palsu sejak kehilangannya. Ini bukan perkara yang boleh diambil remeh atau sebagai bahan ketawa. Mereka kini dalam trauma.

"Sebagai ibu, saya amat memahami perasaan ibu bapa Nurin. Saya meminta mana-mana pihak yang cuba membuat panggilan palsu seperti ini, tolong hentikan perbuatan tidak bermoral ini," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Nurin Jazlin di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Kehilangan Nurin Jazlin, 8, pelajar Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak sejak Isnin lalu selepas keluar seorang diri ke pasar malam yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya di No. 206 Blok D10, Seksyen 1, Wangsa Maju, mendapat liputan luas media.

Bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abd Jalil, 33, ketika ditemui pemberita berkata beliau ada menerima satu panggilan semalam daripada seorang yang tidak dikenali mengatakan anaknya dikurung di sekitar kawasan Setapak Jaya.

"Saya sanggup pergi dan tinjau kawasan itu untuk kira-kira lima jam di bawah panas terik. Untuk saya, kalau dapat jumpa Nurin sudah memadai. Ada juga bomoh yang panggil saya dan berkata anak saya berada dalam alam ghaib.

"Kalau tidak dapat tolong tak apa, tapi saya rayu sangat, janganlah permainkan jiwa kami yang sedang perit ini," katanya, yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Sementara itu, Shahrizat berkata sekiranya ada pihak yang mengambil Nurin Jazlin secara tidak sengaja, mereka perlu menyerahkannya kepada polis atau Jabatan Kebajikan Masyarakat berhampiran.

"Kadang-kadang ada orang yang bawa kanak-kanak yang hilang atau sesat ke rumahnya, tetapi tanpa niat jahat. Macam kes Yin beberapa bulan lepas.

"Saya sudah minta Wanita Umno, Puteri Umno, kementerian saya dan agensi-agensi di bawahnya untuk turun padang mencari Nurin," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak media kerana terus membuat liputan sejak kehilangan Nurin Jazlin, yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik perempuan itu.

"Pada saat-saat inilah peranan media amat diperlukan, kerana gambar dan berita mengenai Nurin akan tersiar dan orang ramai mungkin boleh sama-sama mencari Nurin," katanya.

Dalam lawatan yang sama, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Sayed Abdul Rahman Sayed Mohd menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 untuk keluarga Nurin Jazlin.

- BERNAMA

5 comments:

Anonymous said...

Semoga Nurin Jazlin ditemui pada suatu hari nanti, secepat yang mungkin, dalam keadaan selamat.

Jasni AJ said...

Thanks, sama-samalah kita memohon kehadrat Ilahi.

Anonymous said...

Hentikanlah perbuatan yang tak berfaedah wahai rakyat Malaysia sekalian....cuba bayangkan situasi anda di pihak ibu bapa Nurin sebelum membuat sesuatu tindakan...

Wake up...dah 50 tahun merdeka pun masih nak buat kerja2 info palsu mcm ni....sama2 lah kita memberi sokongan yang tak terhingga x kira dr segi moral dan sebagainya...

Anonymous said...

A'kum...
Sy bersimpati dgn keadaan keluarga adik Nurin especially bila ibunya menyatakan Nurin menghidap penyakit berbahaya..
Agak hairan dgn sikap rakyat Malaysia yg selalu dianggap sopan n berbudi bahasa sanggup mengeluarkan kata2 yg menyinggung perasaan ibubapa yg dalam kesusahan.
Dalam keadaan sebegini, mereka memerlukan sokongan moral semua pihak. jgn ditambah lagi derita mereka yg kesedihan, bayangkan kita mengalami keadaan yg sama.
Perkara sudah terjadi, yg penting kita mencari usaha mencari anak kecil yg mungkin satu hari nnti kita harapkan bakal meneruskan kegemilangan negara kita.
Mylin_su

~Nes~ said...

Come on malaysians!! put yourselves in Nurin's family's shoes! Please please do not give false direction to the parents. Lets unite n help find this little girl. If you have a heart, please stop tormenting her parents!