Wednesday, December 26, 2007

Bapa harap pembunuh Nurin diberkas


KUALA LUMPUR 24 Dis. – Walaupun pihak polis belum menemui pembunuh Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin selepas tiga bulan mayatnya dijumpai, namun keluarga kanak-kanak itu masih menaruh harapan penjenayah terbabit segera diberkas.

Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini memohon agar pihak berkuasa menyelesaikan kes pembunuhan anaknya itu secepat mungkin.

“Sebagai bapa dan keluarga, mungkin kami tidak dapat banyak membantu polis untuk mencari pembunuh Kak Ngah (Nurin Jazlin) tetapi kami sangat berharap penjenayah yang menyeksa Kak Ngah segera ditangkap dan dihukum.

“Begitu pun, saya yakin pihak polis telah melakukan yang secukupnya dalam menjalankan siasatan dan kami percaya pihak polis mampu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Pada masa yang sama, tambah Jazimin, keluarganya yang masih bersedih atas kehilangan Allahyarham Nurin Jazlin berharap agar pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih telus.

“Dalam tempoh dua bulan lalu, saya langsung tidak dimaklumkan apa-apa tentang perkembangan kes pembunuhan anak saya.

“Kali terakhir saya dihubungi dan kemudian mereka datang ke rumah ambil keterangan ialah pada Hari Raya Aidilfitri lalu... selepas itu sampai sekarang kami tak dapat apa-apa maklumat daripada polis.

“Kalau mereka tak mahu maklum kepada media atau orang ramai... sekurang-kurangnya beritahulah keluarga untuk melegakan kami, janganlah biarkan kami tertanya-tertanya,” katanya.

Dalam pada itu, Jazimin memberitahu, sempena Hari Raya Aidiladha ini, beliau menunaikan korban seekor lembu untuk mereka enam anak beranak termasuk Allahyarham Nurin Jazlin menerusi langganan pakej ibadat tersebut di Kemboja.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenai siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

- Utusan Malaysia

No comments: