Wednesday, December 26, 2007

Mengenang 100 hari pemergian Nurin, apa kata Musa Hassan?


Oleh Hazamin Amin

Tuesday, 25 December 2007

Hari ini genaplah sudah 100 hari pemergian Nurin Jazlin Jazimin,8, meninggal dunia sekaligus meninggalkan rakyat Malaysia dengan kisah menyayat hati kerana sicomel kecil ini telah 'dihantar ke syurga' tapi terlebih dahulu dibunuh kejam.

Ada yang sesekali nakal, menghantar email mengusik dengan membangkit persoalan, sekiranya siNurin ini adalah anak orang kaya, berpengaruh dan daripada keluarga politik serta pemimpin negara, bagaimanakah persepsi dan tindakan polis menanganinya?

Biarpun lebih tiga purnama berlalu namun nama manis ini masih tidak dilekang di bibir kalimah masyarakat hatta sesekali kedengaran juga Mimbar Khutbah di beberapa masjid menukilkan kisah tragis ini sebagai satu peringatan kepada sidang jemaah agar berwaspada dengan wabak penyakit manusia gila sehingga hilang nyawa anak kecil tidak berdosa.

Tandanya, diam tak diam, masyarakat masih menanti serta tertanya-tanya hasil tindakan serta siasatan polis yang mengambil masa yang agak lama mencari si penjenayah durjana ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga baru-baru ini menafikan pihaknya menemui jalan buntu dalam penyelesaian kes pembunuhan Nurin dan katanya polis masih menyiasat kes itu tapi tidak boleh mendedahkan hasil siasatan ini kepada media.

"Sampai bila? Masyarakat resah selagi tidak tertangkapnya pembunuh gila ini," kata seorang penghantar email yang mahu dikenali sebagai Jabar Alias.

"Daripada tertumpu isu Bersih, Batu Burok dan Hindraf yang tidak ada penjenayah di dalamnya, lebih baik fokus kepada kes Nurin ini. Dan jangan sibuk nak salahkan ibu bapa, cari dulu manusia berhati binatang ini!" katanya yang kecewa dengan kenyataan melulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan seolah-olah menyalahkan ibu bapa mangsa dan ingin mendakwa sekiranya berlaku kecuaian.

Semalam, agensi berita turut melaporkan ibu Nurin, Norazian Bistaman, 35, dan ayahnya Jazimin Abdul Jalil serta keluarga "sudah letih" menanti jawapan positif daripada polis.

"Jika di awal-awal dahulu, pihak polis sering datang atau menghubungi kami bagi memaklumkan tentang perkembangan kes itu, namun sekarang mereka langsung tidak menghubungi kami, malah kami pula yang terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat terkini," kata Norazian.

Laman blog Nurinjazlin.blogspot.com yang diwujudkan oleh bapa saudara Nurin, Jasni Abdul Jalil bagi membantu mengesan kehilangan Nurin sejak Ogos lalu, masih lagi menerima maklumat balas daripada anggota masyarakat yang ingin mengetahui perkembangan perjalanan kes itu.

Pada 20 Ogos, Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Walau apa pun, rakyat Malaysia khususnya umat Islam disaran berdoa, mudah-mudahan roh sikecil ini ditempatkan di kalangan orang yang beriman, melindungi anak-anak kecil di Malaysia ini terhindar daripada perbuatan 'kebinatangan' penjenayah yang berada di merata-rata seterusnya mengheret 'si jahanam' itu ke muka pengadilan.

- Harakah

No comments: