Wednesday, December 26, 2007

Ibu bapa Nurin diibarat tunggu buah tak jatuh



KUALA LUMPUR: Hari ini genap 100 hari Nurin Jazlin Jazimin, 8, ditemui mati selepas diculik selama 27 hari.

Rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dan kemarahan terhadap apa yang menimpa Nurin, lebih mesra dipanggil Kak Ngah dan menuntut agar pembunuhnya ditahan serta dibawa ke muka pengadilan bagi mendapat balasan yang setimpal.

Namun, ibu bapa Nurin diibaratkan menunggu buah yang tidak jatuh kerana sehingga sekarang tiada sebarang perkembangan yang mereka peroleh berhubung pembunuhannya.

Menurut ibunya, Norazian Bistaman, 35, beliau dan suaminya Jazimin Abdul Jalil serta keluarga ‘sudah letih’ menanti jawapan positif daripada polis.

Malah mereka kecewa kerana tidak lagi mendapat berita daripada polis.

“Jika di awal-awal dulu, polis sering datang atau menghubungi kami bagi memaklumkan mengenai perkembangan kes itu, namun sekarang mereka langsung tidak menghubungi kami, malah kami pula yang terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat terkini,” kata Norazian kepada Bernama semalam.

Lebih mengecewakan, katanya, ialah apabila setiap kali keluarganya menghubungi polis, jawapan yang diterima tetap sama iaitu “masih dalam siasatan”.

“Tapi apa pun kami kena juga tunggu maklumat daripada polis...takkan kita pula nak cari pembunuh tu,” katanya.

Norazian berkata beliau masih lagi menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai termasuk dari Sabah dan Sarawak yang mahu pihak polis segera menangkap penjenayah terbabit.

Impian beliau sekeluarga untuk berpindah ke rumah baru bagi melupakan peristiwa hitam yang menimpa anaknya itu sudah tercapai 1 Disember lalu. Mereka kini tinggal di Kampung Air Panas Baru di Setapak selepas menetap di Wangsa Maju sebelum ini.

“Dengan kedatangan tahun baru yang tinggal beberapa hari lagi, kami sekeluarga bertekad untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang setelah melalui satu fasa perjalanan hidup yang cukup perit,” katanya.

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia, Mustafa Abdul Rahman yang sama-sama terbabit dalam kes mencari Nurin sebelum mayatnya ditemui berkata, beliau yakin polis akan dapat menangkap pembunuh Nurin Jazlin apabila semua bukti dapat dikumpulkan.

“Saya yakin dengan kerja polis, kredibiliti polis tidak perlu dipertikaikan kerana saya sendiri ada pengalaman dalam menyelesaikan kes-kes sebegini,” katanya ketika ditanya tentang desakan masyarakat agar polis mempercepatkan penyelesaian kes Nurin.

Mustafa berkata pihak polis mempunyai cara mereka sendiri dalam menyelesaikan kes.

“Cuma lambat atau cepat saja,” katanya.

Laman blog Nurinjazlin.blogspot.com yang diwujudkan oleh bapa saudara Nurin, Jasni Abdul Jalil bagi membantu mengesan kehilangan Nurin sejak Ogos lalu, masih lagi menerima maklumat balas daripada anggota masyarakat yang ingin mengetahui perkembangan perjalanan kes itu.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan pihaknya menemui jalan buntu dalam penyelesaian kes pembunuhan Nurin.

Katanya, polis masih menyiasat kes itu tapi tidak boleh mendedahkan hasil siasatan ini kepada media.

Pada 20 Ogos lalu Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat di dera secara seksual.

- Berita Harian

1 comment:

unicorn said...

Mustafa berkata pihak polis mempunyai cara mereka sendiri dalam menyelesaikan kes.

“Cuma lambat atau cepat saja,” katanya.

....lambat mana? cepat mana?

the question, how far the investigation been done?

jangan ada yg menjadi mangsa lagi!

police kena tgk channel CI 'the unexplained' .pasal physchic yg tlg selesaikan jenayah.sudah tiba masanya sebagai ikhtiar.Doa apa2pun pada Allah swt.