Tuesday, January 1, 2008

2007 catat pelbagai kisah suka duka


Oleh Nor Affizar Ibrahim

PILU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk seri Sharizat Abdul Jalil (dua kanan) memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin di Wangsa Maju.

Laporan isu wanita dipenuhi lakaran kejayaan, pertemuan, tragedi

ESOK, jendela 2007 akan menutup tirai. Dalam ketawa dan gembira meraikan kejayaan manis dicipta wanita serta hasrat dipenuhi sepanjang tahun itu, kita juga dibuai kesedihan kerana dibaluti berita dan peristiwa yang menyayat hati.

Tragedi pembunuhan bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto yang ditembak mati selepas berkempen Khamis lalu, mengakhiri 2007 dengan penuh tragis. Wanita berusia 54tahun itu mencipta sejarah sebagai pemimpin wanita dunia Islam pertama apabila memenangi pilihan raya di negaranya pada 1988 ketika berusia 35 tahun.

Beliau yang dikatakan bakal membawa perubahan kepada Pakistan apabila pulang daripada buangan untuk menyertai pilihan raya 8 Januari ini, tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Perlantikannya pada 1988 hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila digulingkan, tetapi kembali berkuasa pada 1993 sebelum sekali lagi digulingkan pada 1996 atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Begitu pun, dalam negara kita boleh menarik nafas lega kerana beberapa isu yang diperjuangkan diberi perhatian dan banyak pembaharuan atau perkara dibuat bagi mengubah nasib wanita, remaja serta kanak-kanak di negara ini. Tetapi pada masa sama, 2007 turut menyaksikan masih ada banyak lagi isu mengaitkan golongan itu yang membangkitkan perasaan marah dan kesal.

Masyarakat dikejutkan dengan beberapa peristiwa pilu yang menyentap perasaan, khususnya membabitkan anak kecil dan masih tidak mengetahui apa-apa serta baru hendak mengenali kehidupan. Lalu, terlintas di fikiran tidak adakah lagi dunia yang selamat untuk kanak-kanak? Ini termasuklah, kes pembunuhan yang tanpa perikemanusiaan, rogol, kecuaian dan penderaan yang berlaku.

Begitulah juga nasib malang dan kejadian yang tidak sepatutnya menimpa remaja dan wanita di negara ini, tetapi terus berlaku ke atas mereka; seperti tipu daya sindiket sehingga membawa hukuman mati atau mencalar maruah diri, terperangkap dengan dunia pelacuran, buang bayi, lari dari rumah dan sebagainya.

Timbul persoalan apakah itu semua silap wanita atau remaja itu sendiri dan tidak cukupkah undang-undang yang ada untuk menyekat semua itu daripada berlaku. Adakah semua itu adalah harga yang perlu dibayar dalam perjuangan menuntut hak kesaksamaan dan gender serta tekanan hidup ketika berdepan dengan arus perubahan dunia urban pada masa kini?

Antara rentetan peristiwa 2007 yang banyak memberi pengajaran ialah kisah kehilangan Muhammad Nazrin atau Yin, empat tahun ketika mengikut kedua ibu bapanya, Shamsul Ghazali, 35, dan Nur Amizah Ahmad, 25, membeli belah di ibu negara pada awal Mac lalu. Kehilangan Yin menggemparkan masyarakat terutama kes itu mula dikaitkan dengan sindiket menjual kanak-kanak. Bagaimanapun, ibu bapa Yin beruntung kerana anak mereka dapat ditemui semula dua minggu kemudian, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya.

Namun, tragedi dan kisah sadis menimpa Nurin Jazlin Jazimin, lapan tahun yang dilaporkan hilang hampir sebulan pada September lalu adalah antara peristiwa hitam yang tidak mungkin dilupakan rakyat Malaysia. Mayat Nurin ditemui dalam sebuah beg sukan dengan keadaan kaki dan tangan berlipat serta badan kurus dan wajah yang cengkung. Kejadian itu amat mengejutkan dan lebih menyayat hati apabila hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak perempuan itu turut menjadi mangsa pencabulan seks sebelum dibunuh.

Belum pun hilang rasa sedih dan trauma, pada awal November masyarakat sekali dikejutkan dengan kes kematian seorang budak perempuan berusia sembilan tahun yang dikatakan terjatuh dari kediamannya.

Preeshena Varshiny, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan St Mary, Selayang, ditemui mati dalam longkang di Kondominium Casamila Tower, Batu Caves dan lebih mengejutkan apabila dia dipercayai dicampak dari tingkat dua selepas dirogol, liwat selain kecederaan teruk di badan dan kepala.

Sebelum itu, misteri seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Sherwey Ooi Ying Ying, yang dilaporkan hilang pada Julai lalu, terbongkar apabila dipercayai dibunuh sebelum dibakar berhampiran tanah perkuburan Cina Paya Terubong, di Georgetown. Kes itu amat sayu dan mendedahkan bagaimana kejamnya manusia hari ini apabila polis hanya menemui abu mayat mangsa bertaburan di kawasan berkenaan. Bayangkanlah, anak yang masih kecil itu berdepan dengan kematian begitu azab.

Ketika kita digemparkan dengan kes kanak-kanak menjadi mangsa kezaliman orang yang tidak dikenali, siapa sangka ada ibu yang sanggup ‘mencabut nyawa’ anak sendiri. Kes pada Februari lalu misalnya, seorang suri rumah, Rosniza Ibrahim dituduh membunuh dua anak lelakinya yang berusia enam tahun dan 17 bulan dengan menjerut mereka menggunakan wayar seterika di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Lebih meresahkan, kes pembunuhan bukan saja dilakukan orang dewasa tetapi juga membabitkan remaja seperti yang berlaku pada 19 Oktober apabila anak-kanak berusia tujuh tahun, Mohd Khairul Nizam Riza Azmi ditemui mati dalam keadaan mengerikan. Kematian Mohd Khairul dipercayai akibat ditikam dengan serpihan kaca di sebuah rumah kosong di Taman Perangsang, Kapar, Klang oleh seorang remaja yang kemudian dihadapkan ke Mahkamah Juvana atas tuduhan membunuh.

Beberapa kes buang bayi yang dilaporkan sepanjang tahun ini oleh media turut menggugat perasaan. Kemarahan orang ramai memuncak apabila melihat gambar bayi lelaki yang dibuang di Flet Lobak, Seremban dipaparkan di dalam akhbar. Mayat bayi lelaki yang dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam ditemui masih bertali pusat dan ditinggalkan dalam keadaan mengiring di sebuah lorong kecil di kawasan perumahan itu.

Kes buang bayi bukanlah isu terpencil sebaliknya dilihat semakin menjadi-jadi sehinggakan pada Mei lalu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengumumkan mewujudkan unit khas bagi membantu menyelesaikan masalah ibu yang melahirkan anak luar nikah untuk membendung gejala pembuangan bayi.

Selain terperangkap dengan masalah gejala sosial yang mencemarkan maruah diri, kita juga gusar mengetahui ada wanita Malaysia yang tertipu dengan beberapa sindiket sehingga mengheret mereka ke mahkamah dan berdepan dengan hukuman berat di luar negara. Berdasarkan statistik polis, pada tahun 2006 saja sebanyak 30 kes membabitkan wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana menyeludup masuk dadah atau bahan terlarang ke negara lain.

Antara kes yang membabitkan wanita Malaysia ialah Umi Azlim Mohamad Lazim, 24; Raja Munirah Raja Iskandar, 22 dan Irene Manggi, 22 tahun. Ketiga-tiga wanita muda itu dikatakan terpedaya akibat helah sindiket yang mempergunakan mereka sebagai perantara atau pembawa bahan terlarang untuk masuk atau keluar ke sesebuah negara. Paling menyentap jantung ialah kes Umi Azlim yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke China. Beliau ditahan di China pada Januari lalu atas tuduhan membawa masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu dan dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu.

Pertemuan Mariam dan anak curi tumpuan

Kisah wanita dari Korea Selatan, Mariam Johari, 86, yang mencari anaknya di Malaysia antara yang turut mencuri perhatian. Anak kelahiran Kampung Sungai Tengkorak, Plentong, di Johor Bahru, yang terkandas di Korea Selatan sejak 61 tahun lalu itu mendapat liputan luas apabila wakil Korea Broadcasting System (KBS) datang ke negara ini bagi memastikan impian Mariam tercapai.

Mariam yang dikatakan mengikut bakal suaminya untuk bertemu ibu bapa mentuanya ketika itu tidak dapat pulang ke Malaysia kerana ketiadaan dokumen penting sehingga beliau dengan bantuan anak tirinya (warga Korea) menghubungi KBS atas tujuan berkenaan.

Usaha KBS ternyata tidak sia-sia apabila berjaya menemui anak Mariam iaitu Ramlah Sonni, 72, Jelani, 70 dan Jamnah, 65 yang kini kini menetap di Kota Tinggi.

Detik kejayaan wanita
Namun, ketika kita menghitung detik masa 2006 yang bakal berakhir, wanita Malaysia masih boleh berasa bangga dengan beberapa kecemerlangan dicapai. Ini merangkumi, kejayaan Marina Ahmad, 26, yang berjaya menawan puncak Everest pada 21 Mei lalu. Berdasarkan sejarah pendakian, Marina adalah pendaki wanita ke-91 di dunia menjejakkan kaki ke puncak Everest.

Pujian juga patut diberikan kepada S Vanajah, 35, wanita tunggal, yang terpilih antara empat calon terakhir dalam Program Angkasawan Negara kerana bukan mudah untuk sampai tahap itu yang begitu menuntut keazaman dan kekuatan daripada segala aspek.

Menjalani latihan hingga ke tahap melampau selama empat minggu di Pusat Angkasa Rusia, cukup menguji ketahanan fizikal, fisiologi dan psikologi termasuk pengorbanan melepaskan jawatannya sebagai jurutera kanan kualiti dan sanggup menangguhkan pertunangan.

Begitu juga dengan kesungguhan Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang mampu menamatkan ekspedisi ke Kutub Utara pada 17 April dalam ekspedisi sembilan harinya ke Artik.

Ratu Skuasy, Nicol Ann David tetap mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia, selain mencipta sejarah sebagai Olahragawati Asia pertama pada majlis Anugerah Sukan Asia (ASA), baru-baru ini. Pengiktirafan Asian Sports Press Union (Aspu) itu sekali gus melengkapkan pencapaian penuh gemilang pemain nombor satu dunia itu yang memegang gelaran tertinggi itu sejak Januari tahun lalu.

Selain itu, wanita juga diberi pengiktirafan dan kedudukan sewajarnya oleh kerajaan terhadap keupayaan dan kepakaran yang mereka ada. Ini merangkumi, perlantikan Prof Datuk Dr Aminah Ayob sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, satu-satunya universiti berteraskan pendidikan perguruan di negara ini. Perlantikan yang berkuatkuasa pada 1 September 2007 menjadikan beliau seorang daripada tiga naib canselor wanita di negara ini.

Di luar negara perlantikan beberapa wanita memegang jawatan penting seperti Cristina Fernandez yang dipilih menjadi presiden Argentina mencuri tumpuan. Cristina yang mengangkat sumpah sebagai presiden Argentina, awal Disember lalu melakar sejarah sebagai wanita pertama Argentina yang dilantik memegang jawatan berkenaan, sekali gus mengambil alih tempat yang dikosongkan suaminya, Nestor Kirchner yang bersara.

Cristina memulakan penggal empat tahun dengan harapan untuk meneruskan usaha suaminya yang menyaksikan Argentina mencatatkan pemulihan ekonomi dengan pertumbuhan lapan peratus setahun. Cristina adalah presiden wanita kedua di Amerika Selatan yang memegang jawatan penting berkenaan selepas Michelle Bachelet di Chile.

Nasib wanita dibela

Peningkatan ketara peruntukan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada RM782 juta dalam Bajet 2008 berbanding hanya RM30 juta tahun lalu turut dilihat sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan negara, khususnya menggalakkan wanita terus kekal dalam pasaran kerja.

Lonjakan peruntukan itu agak mengejutkan pelbagai pihak tetapi ia perlu dilihat secara serius ketelusan kerajaan dalam mengangkat martabat wanita yang turut sama menggembleng tenaga bagi memastikan negara terus berdaya saing dengan negara lain.

Selain itu, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan kelonggaran kepada wanita bekerjaya bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada keluarga pada Sidang Kemuncak Wanita, Ogos lalu, satu berita baik bagi wanita di negara ini.

Bagi memastikan pelbagai jenayah membabitkan wanita dapat dibendung, Talian Nur 15999diwujudkan untuk membantu golongan memerlukan. malah, talian berkenaan turut berfungsi memberikan maklumat daripada KPWKM.

Apa yang pasti, semua catatan suka duka yang berlaku sepanjang 2007 dan mengaitkan wanita, kanak-kanak serta remaja di negara ini tidak wajar dijadikan lipatan sejarah semata-mata. Hakikatnya, banyak ruang kosong dan kepincangan yang perlu diperbaiki dan seharusnya kita semua merenung kembali serta mengambil iktibar setiap berlaku agar lebih cemerlang pada tahun 2008.

- Berita Harian

2 comments:

Zulkifli said...

Assalamualaikum, bersyukur kita ke hadrat Ilahi bahawa dengan limpah kurnianya kita dapat melihat tahun baru dan masih diberikan masa dan ruang untuk bersama orang yang dikasihi dapat melihat dan membelai anak-anak kita....

harap pada tahun 2008 ini dan tidak lama lagi iaitu pada 10 Januari 2008, iaitu 1 Muharam 1429H umat Islam akan menyambut tahun baru Islam , ianya akan menjadi tahun gemilang tanpa jenayah terutamanya terhadap kanak-kanak dan diberkati Allah s.w.t . Hendaknya kita semua ni insaf dengan apa yang berlaku dan kembali merenung sejenak mengapa perkara yang terjadi tahun lalu menimpa kita semua... Mengapa yang menjadi mangsa ialah kanak-kanak tidak berdosa...mengapa tidak ditimpakan malapetaka pada orang jahat sahaja...Allah s.w.t hendak kita berfikir...

Kita perlu terus berdoa agar penjenayah yang membunuh Nurin yang dikasihi dapat diberkas dan pengedar gambar autopsy ditangkap segera.

Kepada Jasni dan Jazimin teruskan berjuang... perjuangan ini untuk anak-anak kita dan kanak kanak lain seterusnya...blog ini perlu terus bersuara dengan nada yang positif...

panas tu biasalah kalau tak panas nanti orang tak dengar ...pada kawan kawan teruskan berdoa...Allah s.w.t tidak pernah mungkir janji...

Lang said...

Assalamualaikum Zul,

Hang klik je nama Lang, then hang dapat masuk kat profail and klik my blog. Insyallah boleh.

Balik ke cerita gambar CCTV.
Kita boleh lihat contoh yang bakal ditunjukkan oleh mereka2 yang terlibat dengan kes CCTV yang terhangat dan terlampau dan terbaru di malaysia. Bandingkan dengan kes CCTV gambar penjenayah yang membunuh adek Nurin. Kita jangan tengok dari segi kejelasan gambar CCTV, tetapi kita tengok dari segi response yang diberi oleh pihak berkuasa.

Dalam berita semalam (kalau ada sesiapa yang terlepas Buletin Utama tu boleh tengok kat www.tv3.com; pilih buletin utama 1 jan 2008) bapak pulisi telah menyatakan siasatan telah di mulakan walaupun belum ada aduan rasmi dibuat kepada mana2 balai polis. Huh!.. betul seperti apa yang blogers2 andaikan sebelum ini. Jangan sampai tersentuh orang2 kenamaan, orang penting, public figures and what so ever yang sewaktu dengannya. Pasti tindakan segera yang proaktif (bertindak sebelum diminta) akan diambil. Sedih kita tengokkan nasib yang menimpa rakyat yang setaraf dengan kita semuakan?.

Wallahualam..