Tuesday, September 4, 2007

Bantu cari Nurin – Musa Hassan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Orang ramai diminta tampil membantu usaha mencari kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak 20 Ogos lalu dengan cara menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga hari ini Nurin Jazlin yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi gagal ditemui kerana polis tidak menerima petunjuk baru berhubung kes itu.

“Maklumat dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesan kanak-kanak terbabit agar dia dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“Polis amat memerlukan saksi yang mengetahui tentang kanak-kanak itu atau maklumat yang dapat membantu polis mengesannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mengenai Nurin Jazlin atau terlihat kanak-kanak itu diminta menghubungi Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran di talian 019- 6000289 atau bilik gerakan 03- 40413646.

Pada masa sama, Musa memberi amaran keras akan mendakwa mereka yang ‘menyimpan’ kanak- kanak itu mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

“Gambar kanak-kanak itu telah diedar dan satu pasukan khas yang diketuai Ketua Polis Daerah Sentul sedang giat menjalankan usaha untuk mencari kanak-kanak itu.

“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap mereka yang menculiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Zulhasnan Najib Baharudin berkata, setakat hari ini polis belum mendapat petunjuk positif yang boleh membantu kepada penemuan kanak-kanak itu.

“Justeru, polis mengingatkan orang ramai yang menemui kanak-kanak hilang atau berkeliaran tanpa penjaga perlu diserahkan kepada polis dengan segera kerana mengambil dan menjaganya di rumah adalah salah dari sisi undang-undang,” katanya.

Zul Hasnan berkata, orang ramai tidak sepatutnya membawa kanak-kanak yang hilang pulang ke rumah tanpa kebenaran ibu bapa kanak-kanak tersebut termasuk dalam kes Nurin Jazlin.

“Mereka perlu terus menyerahkannya kepada polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin hilang apabila tidak pulang semula ke rumah selepas pergi ke pasar malam seorang diri berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini.

Kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu membimbangkan ibu bapanya kerana kanak-kanak itu menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi.

Walaupun usaha menjejaki murid tahun dua itu giat dijalankan namun belum ada sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuannya.

- Utusan Malaysia

No comments: