Tuesday, September 4, 2007

‘Tolong pulangkan anak saya’

Oleh NORHANA SALASHAR BASHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Bapa kepada Nurin Jazlin Jazimin, 8, kanak-kanak yang hilang selepas pergi ke pasar malam dekat rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini 13 hari lalu merayu sesiapa yang ‘menyimpan’ anaknya supaya memulangkannya semula.

Jazimin Abd. Jalil, 33, memberitahu, beliau amat bimbang kerana sehingga kini tiada sebarang maklumat mengenai kedudukan anaknya.

“Jika Nurin Jazlin dijaga seseorang seperti yang berlaku ke atas Yin (Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali) yang pernah hilang, saya rayu orang itu kembalikan Nurin Jazlin ke pangkuan kami kerana kami amat sayang dan merinduinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin hilang apabila tidak pulang semula ke rumah selepas pergi ke pasar malam seorang diri.

Kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu membimbangkan kedua-dua ibu bapanya kerana kanak-kanak itu menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi.

Walaupun usaha menjejaki murid tahun dua itu giat dijalankan namun belum ada sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuannya.

Menurut Jazimin, walaupun pelbagai pihak tampil memberi maklumat mengenai anaknya namun Nurin Jazlin masih gagal ditemui.

“Tiga hari selepas dia hilang seorang bomoh tampil menghulurkan bantuan dan mengatakan anak saya berada di Hutan Melintang, Perak.

“Saya segera ke sana bersama ahli keluarga yang lain namun gagal menemuinya atau mendapat sebarang petunjuk mengenai kehadirannya di sana,” ujar beliau.

Jazimin berkata, pelbagai cara dilakukan pihaknya termasuk meminta bantuan polis, sanak saudara dan rakan-rakan dalam usaha menjejaki Nurin Jazlin.

- Utusan Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

Selain berdoa, kita berusaha, bomoh pun satu usaha juga. Kena cari bomoh yang betul2 handal. Di johor ni ramai. Semoga nurin selamat. Salam. Pak ungku

Anonymous said...

kita haruslah tabah meghadapi dugaan....
setiap yg hidup,,pasti akn pergi jua.....
jadi,tlglah sedekahkn AL-FATIHAH