Oleh WAN NORIZA MEOR IDRIS
KUALA LUMPUR: Kelurga Nurin Jazlin, 8, kanak-kanak yang hilang di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, dua minggu lalu, dikejutkan pula dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) seseorang mengaku dirinya sebagai ‘penyiasat persendirian’ yang dikatakan dapat menemui Nurin.
Bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, 33, berkata SMS itu turut mengatakan ‘penyiasat persendirian’ itu akan dapat menemui anaknya dan meminta duit sebagai habuan.
“Antara kandungan SMS itu ialah ‘Jika aku dapat jumpa anak kau, berapa (duit) kau boleh bayar aku’. Saya tidak menjawab SMS itu, sebaliknya memberitahu polis bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada orang ramai yang sudi membantu saya, namun keluarga saya sedih apabila menerima pelbagai SMS berunsur cacian yang mengatakan kami tidak tahu jaga anak,” katanya.
Jazimin berkata, pihaknya masih meneruskan usaha mencari serta operasi mencari diteruskan dalam tempoh 24 jam, malah solat hajat dibuat setiap malam.
“Saya juga semakin keliru dengan pelbagai petunjuk yang diberi orang ramai dan hilang arah dengan petunjuk sebenar di mana anak saya.
“Kami menjadi semakin pilu apabila adik Nurin, Nurin Jazrina, 6, sering bermimpikan kakaknya (Nurin) yang dikatakan kini di bawah jagaan sebuah keluarga,” katanya.
Jazimin berkata, anaknya bermimpikan kakaknya (Nurin) dengan mimpi sama sejak hari pertama Nurin hilang diculik.
“Adik-adiknya sering bertanyakan kakak mereka dan lebih menyedihkan, Nurin bakal menyambut hari lahirnya 11 September ini.
“Nampaknya sambutan hari lahirnya kali ini tidak dapat kami adakan kerana dia belum ditemui. Namun, saya berharap dia berjaya ditemui dalam masa terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran, ketika diminta mengulas SMS daripada ‘penyiasat persendirian’ terbabit, menasihatkan keluarga Nurin supaya sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan helah digunakan individu yang ingin mengambil kesempatan.
“Kami masih meneruskan siasatan dan seperti yang dijanjikan, wang ganjaran RM5,000 akan diberi kepada individu yang berjaya menemui Nurin.
“Oleh itu, saya harap tiada pihak cuba mempermainkan keluarga Nurin dengan meminta wang ganjaran lebih jika anak mereka berjaya ditemui,” katanya.
- Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
We share the same birth date. Al-Fatiha
Post a Comment