Monday, September 3, 2007

KKPPPM bantu kesan Nurin Jazlin

MELAKA: Prihatin akan nasib yang menimpa keluarga Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pusat Pelajaran Malaysia (KKPPPM) semalam mengarahkan ahlinya turun padang' membantu mencari kanak-kanak berkenaan.

Yang Dipertuanya, Shafie Omar, berkata 18,000 ahli kesatuan itu termasuk pesara, diminta membantu mengesan Nurin Azlin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Saya cukup sedih membaca berita kehilangan Nurin Jazlin dan berdoa dia segera ditemui serta dikembalikan kepada ibu bapanya dalam keadaan selamat," katanya di pejabat Berita Harian Melaka di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga bersimpati dengan kehilangan Nurin Azlin dan meminta ibu bapanya bersabar dan banyak berdoa supaya anak mereka dapat ditemui segera.

"Zaman sekarang bukan seperti dulu, orang yang kita tidak kenali apatah lagi orang yang dikenali, tidak pernah mempunyai niat jahat terhadap kanak-kanak. Zaman sekarang, pantang budak kecil terlepas daripada pandangan mata, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku.

"Kesatuan kami terpanggil untuk membantu kerana simpati dengan keresahan ibu bapa Nurin Azlin dan saya minta semua ahli yang tahu atau ternampak Nurin Azlin supaya menghubungi polis bagi membolehkan Nurin Azlin diserahkan ke pangkuan keluarganya," katanya.

Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pasar malam berhampiran rumahnya kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos lalu.

- Berita Harian

No comments: