KUALA LUMPUR 6 Sept. – Polis mengesahkan penemuan sebuah van berwarna putih di Jalan Kelang Lama yang dikatakan boleh memberi petunjuk baru kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, semalam, tiada kaitan dalam kes kehilangan kanak-kanak itu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP K.Kumaran berkata, polis tidak menemui sebarang kesan dan bukti yang boleh mengaitkan van jenis Nissan itu dengan kehilangan Nurin Jazlin.
“Kita telah periksa van tersebut dan tiada sebarang kesan yang menunjukkan mangsa pernah menaiki kenderaan itu,” katanya.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan van Nissan putih itu yang diletakkan tidak jauh dari pangsapuri Taman Tenaga, Jalan Kelang Lama dipercayai dapat memberi petunjuk baru kepada polis untuk menjejaki Nurin yang kehilangannya kini memasuki hari ke-16.
Van itu menimbulkan tanda tanya kerana dibiarkan tersadai dalam keadaan yang mencurigakan di tempat sunyi.
Kumaran berkata, sehingga kini polis masih mengesan petunjuk baru bagi menjejaki kehilangan Nurin.
Bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil ketika ditanya tentang penemuan van yang dikaitkan dengan kehilangan anaknya berkata, beliau tidak dimaklumkan polis tentang penemuan itu dan hanya mengetahui selepas membaca akhbar hari ini.
“Saya berharap akan ada petunjuk baru yang boleh mengesan kehilangan Nurin kerana kami terlalu merinduinya dan tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu Pakar Forensik Hipnosis, Dr. Sazali Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha memperincikan lokasi yang dipercayai tempat Nurin disembunyikan.
Beliau meminta orang ramai terutama bekas pelajar Akademi Simfoni Minda di bawah bimbingannya tampil membantu melakukan kaedah perantaraan jarak jauh dengan medium yang lebih ramai bagi mempercepatkan penemuan Nurin.
Dr. Sazali berkata, apa yang lebih membimbangkan kini ialah keadaan kesihatan Nurin dan berharap kanak-kanak itu masih lagi bertenaga bagi memudahkan perhubungan melalui minda dan tenaga dijalankan.
“Dari kaedah yang kami jalankan ada kemungkinan Nurin kini ditinggalkan sendirian,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu diminta menghubungi Fitri di talian 017-6399463.
– Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment