Oleh UMAVATHI RAMAYAH
KUALA LUMPUR 4 Sept. – “Firasat saya menyatakan Nurin masih berada di Malaysia dan belum dibawa keluar dari sini.’’
Itulah luahan Jazimin Abd. Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang selepas pergi ke pasar malam dekat rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini pada 20 Ogos lalu.
Jazimin yakin, anaknya itu masih selamat dan berada tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.
“Saya merayu kepada sesiapa yang ternampak Nurin, tolonglah bawa dia ke balai polis berhampiran atau ke rumah kami.
“Kasihanilah kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jazimin menambah, dia dan isterinya tidak jemu berusaha mencari anaknya itu termasuk menggunakan khidmat hampir 10 bomoh setakat hari ini.
Namun jelasnya, usaha itu belum mendatangkan hasil dan mereka tidak menolak kebarangkalian untuk menggunakan kaedah psikik selepas ini.
“Tidak kisah apa cara digunakan asalkan Nurin Jazlin selamat kembali ke pangkuan kami. Saya terlalu merinduinya,” ujar Jazimin.
Jazimin yang bekerja sebagai pemandu teksi memberitahu, pendapatannya turut terjejas kerana dia tidak memandu teksi sejak Nurin Jazlin hilang.
“Saya buntu... sama ada saya nak pergi kerja atau menjaga anak-anak dan isteri yang terlalu sedih dan rindukannya,” ujarnya.
- Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment