Friday, September 14, 2007

Ganjaran RM18,000 kepada individu yang berjaya temui Nurin

SUNGAI RAMBAI, 12 Sept.: Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Jasin mengambil inisiatif membantu keluarga Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak yang hilang sejak 22 hari lalu dengan menubuhkan tabung derma bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Pengerusi GB4B Kawasan Jasin, Hassan Abd Rahman, berkata di samping itu, GB4B kawasan berkenaan turut melancarkan bantuan dengan mengedarkan risalah serta gambar Nurin kepada orang ramai.

Menurut Hassan, atas kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan, GB4B mengambil keputusan untuk membantu meringankan penderitaan yang dialami keluarga Nurin.

“GB4B Kawasan Jasin juga berharap seluruh ahli GB4B di negeri ini dan negeri-negeri yang lain akan turut sama membantu dan saya yakin dengan izin Allah s.w.t, Nurin yang hilang akan dapat ditemui,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan GB4B Kawasan Jasin, di Bilik Bacaan Parit Perawas, dekat sini, kelmarin.

Majlis itu telah dirasmikan Pengerusi Gerak Sukan merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja GB4B Melaka dan turut dihadiri Pengerusi Remaja 4B Kawasan Jasin merangkap Pengerusi Remaja 4B Negeri, Mohd Nizam Omar.

Pada majlis itu, Hassan turut menghubungi bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil secara langsung melalui telefon bimbit dan turut memberikan kata-kata perangsang kepada Jazimin.

Hassan berkata, GB4B juga akan berusaha mengumpulkan RM3,000 daripada ahli GB4B Kawasan Jasin dan berharap setiap ahli akan dapat menderma RM1 seorang bagi merealisasikan hasrat mencapai sasaran jumlah derma tersebut.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak yang juga menghidap sakit buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang selepas pergi seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Misteri kehilangan Nurin menimbulkan tanda tanya kerana walaupun sudah 22 hari hilang, usaha mengesannya masih belum berhasil dan polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai penculikan.

Kehilangan Nurin juga turut mendapat perhatian pelbagai pihak dengan menawarkan ganjaran kepada individu yang memberi maklumat hingga berjaya membawa kepada penemuannya bakal menerima ganjaran RM18,000.

- Melaka Hari Ini.com.my

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum...
Buat keluarga Allayarham Adik Nurin Jazlin... Semoga tabah menerima dugaan dan Takdir ini... Nurin Jazlin adalah insan terpilih yang menanti ibu bapanya di Jannah...Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui segala rahsia kejadian... Pasti 'binatang' itu akan mendapat 'ganjaran' yang sewajarnya!!!

Anonymous said...

Assalamualaikum..
Takziah buat klrga Allayarham Nurin. Smoga tabah mengharungi dugaan ini. Marilah kita berdoa smoga syaitan itu tertangkap dan akan mendapat hukuman yang setimpal.

Anonymous said...

sdey sangat pasal nurin nieh..
saper yg wat tu el0k hukum sekse jerk..tp wat family nurin bwk2 bersabar..walaupun nurin bukn family sayer tp sedey sgt2..harap sgt 'binatang' yg celake tu disekse spt ane nurin diseksa..ucapan takziah buat family nurin jazlin.sem0ga allayarhamah d tempatkn di kalangan orang yg beriman..Insyaallah..AL-FATIHAH