Monday, September 10, 2007

Solat hajat untuk Nurin, ganjaran cecah RM18,000

08-09-2007 06:28:44 PM

KUALA LUMPUR: Keluarga Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak yang hilang semasa ke pasar malam di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu, merancang untuk mengadakan solat hajat pada Selasa ini sempena hari jadinya yang kelapan.

Bapanya Jazimin Abdul Jalil, 33, berkata setiap tahun keluarganya menyambut hari jadi Nurin tetapi pada tahun ini acara sambutannya digantikan dengan solat hajat untuk mendoakan keselamatan Nurin.

Bagaimanapun, keluarganya belum pasti di mana akan mengadakan solat hajat itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Jazimin menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada pengarah urusan Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Jawahar Ali.

Sumbangan itu menjadikan jumlah ganjaran kepada individu yang memberi maklumat hingga berjaya membawa kepada penemuan Nurin meningkat kepada RM18,000.

Syarikat tersebut turut mendermakan 50 kain rentang yang memaparkan gambar Nurin yang akan dipasang di sekitar kawasan Wangsa Maju dan di semua cawangan restoran itu di Lembah Klang.

Sementara itu, jurucakap polis berkata operasi mencari Nurin yang masuk hari ke-20 masih ditumpukan dalam negara.

Katanya usaha untuk mengesan mangsa kini giat dijalankan di seluruh negara dan polis telah menerima pelbagai maklumat daripada orang ramai mengenai lokasi Nurin yang antaranya mendakwa melihatnya di Perak, Pulau Pinang dan di tempat-tempat lain.

Beliau berkata bagaimanapun sehingga kini usaha mencari Nurin di kawasan sempadan negara masih belum dijalankan.

- BERNAMA

Komen Blogmaster : Harap ambil maklum bahawa apa yang diterima oleh Jazimin adalah akujanji sumbangan sebanyak RM5,000 untuk diberikan kepada pemberi maklumat sehingga Nurin ditemui semula. Jazimin tidak "menerima" sumbangan RM5,000 sepertimana yang yang dilaporkan dalam laporan ini.

No comments: