Monday, September 3, 2007

Muslimat Pusat baca Yassin, solat hajat cari Nurin

Oleh Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang masih tidak dapat dikesan telah menarik simpati Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menemui keluarganya untuk menghulurkan bantuan menjejaki anak kecil itu.

Walaupun pelbagai pihak cuba membantu mengesan kehilangan Nurin namum sehingga hari kesembilan, Nurin masih belum dapat dijejaki.

Nuridah bersama Ketua Penerangannya, Salbiah Abd Wahab serta anggota Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menemui ibu Nurin, Norazian (gambar) di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, jam 4 petang tadi, untuk mengetahui kejadian sebenar.

Beliau mengetuai para muslimat membaca surah Yassin sambil mendoakan semoga Allah memberi kemudahan untuk menemui Nurin.

Nuridah berkata, Muslimat Pusat akan membawa Norazian bersama suaminya ke Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar malam Jumaat nanti untuk solat hajat beramai-ramai.

Beliau berharap dengan cara memohon kepada Allah Nurin, dapat ditemui secepat mungkin.

Nurin Jazlin merupakan pelajar tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak, seorang kanak-kanak pintar tidak mudah mengikut sesiapa dan sentiasa mendengar kata ibu bapa.

Ibu kepada empat orang anak perempuan itu berkata, anak sulungnya, Nurin Jazshira, 9, demam sejak kehilangan Nurin Jazlin kerana hubungan mereka amat rapat.

Selain Nurin Jazlin dan Nurin Jazshira, dua lagi anak Norazian ialah Nurin Jazrina, 6, dan Nurin Jazlisa, 1.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nurin sila hubungi telefon bimbit Norazian dan suaminya Jazimin di talian 019-3667067 atau 013- 2486651 dan Salbiah Abd Wahab 019-3365654.

- Tranungkite

No comments: