Friday, September 7, 2007

Van putih tepi belukar

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Abdullah Wahab
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penemuan sebuah van Nissan putih yang tersadai di kawasan belukar berhampiran tangki air Taman Tenaga, Jalan Klang Lama di sini, tengah malam tadi, dipercayai dapat memberi petunjuk baru kepada polis dalam menjejaki Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak 16 hari lalu.

Dalam gerakan berterusan menjejaki kanak-kanak itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerima maklumat penting daripada orang ramai berhubung penemuan van terbabit yang ditinggalkan tanpa pemilik di kawasan itu.

Van itu yang diletakkan tidak jauh dari pangsapuri Taman Tenaga menimbulkan kecurigaan berikutan ia diletakkan di tempat sunyi dalam keadaan berkunci.

Hasil maklumat itu, polis Sentul dibantu beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Lebih 10 anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan belukar dan tangki air itu selain mendaki bukit berdekatan.

Selain itu, pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah penduduk pangsapuri berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, usaha mencari mangsa yang berlarutan sehingga jam 2 pagi tadi, menemui jalan buntu berikutan tiada petunjuk lain ditemui.

Sumber polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan pemilik van terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes kehilangan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak itu.

Pada 29 Ogos lalu, seorang rakan sekolah mangsa memberitahu polis dia ternampak Nurin Jazlin ditarik masuk ke dalam sebuah van pada malam kehilangannya, 21 Ogos lalu.

Petunjuk itu diperoleh ketika operasi mencari dilakukan dari rumah ke rumah sekitar kawasan kediaman keluarga mangsa di Wangsa Maju di sini.

Saksi berkenaan memberitahu, dia ternampak seorang lelaki menarik Nurin Jazlin ke dalam van putih di kawasan pasar malam tempat kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang.

Dalam operasi berterusan sehingga pagi tadi, pihak polis turut mendapatkan bantuan pakar forensik hipnosis, Dr Sazali Ahmad dan beberapa rakannya yang menggunakan kaedah perantaraan jarak jauh atau ‘remote viewing’ untuk menjejaki mangsa.

Berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh daripada kaedah itu, polis turut menjalankan siasatan di sebuah kondominium mewah di Jalan Morib, Off Jalan Klang Lama, yang dipercayai tempat mangsa disembunyikan.

Dr Sazali sebelum ini turut membantu menyelesaikan misteri kehilangan kanak-kanak, Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, yang pernah menggemparkan negara kerana kehilangannya di pusat beli-belah Sogo di sini, 31 Mac lalu.

Petang semalam, anggota Balai Polis Sentul diketuai Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Ketua Inspektor Hanyan Ramlan, turut menjalankan siasatan di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara-Selatan selepas menerima maklumat daripada seseorang yang mendakwa melihat Nurin di kawasan itu.

Difahamkan, mangsa dilihat ke tandas di stesen minyak berhampiran R&R berkenaan sebelum dilihat beberapa pekerja stesen minyak itu.

Berikutan itu, polis segera menjalankan siasatan sebelum mengambil keterangan daripada beberapa pekerja stesen minyak itu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran yang dihubungi berkata, maklumat itu diperoleh pagi semalam daripada seorang pemanggil yang enggan memperkenalkan dirinya.

Tidak dapat dipastikan sama ada R&R yang dimaksudkan itu adalah yang menghala arah selatan atau utara manakala waktu sebenar kanak-kanak itu dilihat juga tidak dinyatakan.

“Polis akan menggiatkan usaha mencari kanak-kanak itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abd Jalil, 33, berkata beliau kecewa kerana ada pihak cuba mempermain-mainkan kehilangan anaknya itu dengan memberi maklumat palsu.

“Saya amat berterima kasih dengan semua pihak yang sudi bantu kami dalam misi pencarian Nurin. Tetapi yang sedihnya, ada orang yang sanggup memberi maklumat palsu.

“Ada yang cakap di Pahang, di Grik, Perak, dan semalam pula di Pulau Pinang. Kalau tidak sudi bantu tidak apalah,” katanya.

Pemandu teksi itu berkata, dia turut kecewa apabila ada orang mengirim SMS menyalahkan dirinya kerana didakwa dia tidak pandai menjaga anak.

Nurin Jazlin, yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi, hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju, kira-kira jam 8 malam.

- Harian Metro

No comments: